Tidak timbul soal tamak susulan keputusan Umno Selangor menolak tawaran ahli majlis pihak berkuasa tempatan, kata Zahid Hamidi.
“Tidak timbul soal tamak dalam perkara ini kerana kami ada 22 ketua-ketua bahagian.
“Jadi kalau ada yang dapat dan ada pula yang tak dapat adalah lebih baik semua tak dapat,” kata presiden Umno.
Terdahulu, Umno Selangor memutuskan untuk menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis PBT di Selangor.
Mereka sebaliknya mahu 373 jawatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri itu.
Difahamkan terdapat 288 kerusi ahli majlis PBT keseluruhan di Selangor.
Bercakap dalam sidang media selepas sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di Putrajaya, hari ini, Zahid berkata dia menyerahkan perkara itu kepada budi bicara Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
“Walaupun kami di luar PBT kami tetap mendukung dan menyokong program-program kerajaan negeri melalui PBT ini,” katanya.
Zahid juga menegaskan Umno tidak kecil hati dan akan terus “memainkan peranan secara bebas”.
Sementara itu, Zahid mendedahkan keputusan menolak jawatan itu dibuat dalam mesyuarat 22 Umno bahagian di Selangor.
“Dan saya fikir keputusan itu harus dihormati,” katanya.