Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lori rempuh enam kereta di lampu isyarat akibat brek rosak

Sebuah lori merempuh enam kenderaan lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Ara Kuda di Pulau Pinang semalam, dipercayai akibat kerosakan brek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt Siti Nor Salawati Saad berkata kejadian itu menyebabkan seorang pemandu kereta mengalami kecederaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Kemalangan pada 11.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori dalam perjalanan dari Tasek Gelugor menghala ke Lunas, Kedah tidak dapat berhenti kerana kegagalan brek.

"Ketika tiba di lampu isyarat, pemandu lori memperlahankan kenderaannya dengan bergerak ke kiri dan kanan selepas brek gagal berfungsi, sebelum merempuh enam kenderaan yang berhenti di lampu isyarat itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata kes itu disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Terdahulu, tular satu video menunjukkan sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta ketika semua kenderaan itu berhenti di lampu isyarat.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS