Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ratusan bantah insinerator Batu Arang, dakwa MB tak responsif

Kira-kira 300 orang berhimpun sekali lagi bagi membantah pembinaan loji insinerator sisa kepada tenaga (WTE) di bandar warisan Batu Arang, Gombak.

Berkumpul di tapak pasar malam Bandar Tasik Puteri bermula jam 8 pagi tadi, mereka melaungkan tuntutan untuk bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Jurucakap Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI) Abdul Hanan Abd Mokti berkata kerajaan Selangor tidak memberi sebarang respons terhadap tuntutan mereka untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu.

Menurut Hanan, RTI cuba mendapatkan temu janji dengan menteri besar sejak enam bulan lalu tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Turut menghadiri tunjuk perasaan itu ialah Adun Kuang Mohd Rafiq Abdullah yang menggesa penunjuk perasaan menolak projek yang dicadangkan ketika penilaian kesan sosialnya sedang dijalankan.

“Projek ini dikatakan mempunyai teknologi yang begitu canggih sehingga mampu memproses 2,400 tan sisa setiap hari.

“Saya sudah nyatakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor jika ia sangat hebat, kenapa tidak ada projek di Shah Alam? Malah, kenapa tidak di sebelah rumah menteri besar Selangor?” katanya ketika berucap di himpunan berkenaan, hari ini.

Himpunan pertama bantahan itu sebelum ini berlangsung pada 27 Ogos tahun lalu.

Sebelum ini dilaporkan dua WTE dijangka beroperasi serentak dalam radius 15km di Rawang.

Insinerator pertama ialah loji tenaga hijau sisa-ke-tenaga Sultan Idris Shah (SIS) di bawah seliaan kerajaan negeri Selangor, yang kini mendapat bantahan.

Projek loji tenaga hijau WTE Sultan Idris Shah akan diselia oleh pengurusan sisa Kelab Darul Ehsan Bhd (KDEB) dan YTL Power International Bhd.

KDEB ialah anak syarikat Selangor Menteri Besar Incorporated (MBI Selangor).

Insinerator kedua ialah WTE yang dipindahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang pada awalnya dirancang untuk dibina di Taman Beringin, Kepong, dan kemudiannya dipindahkan ke Rawang.

Hari ini, Ahli Parlimen Selayang William Leong mengulangi amaran kesan negatif yang akan dibawa oleh WTE yang dicadangkan kepada Batu Arang.

Kesan itu termasuklah faktor geologi kerana Batu Arang dibina di atas lombong arang batu.

“Terdapat banyak terowong (di bawah tanah) yang menimbulkan risiko metana dan gas arang batu meletup.

“Malah baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia bercadang untuk membina klinik kesihatan bertingkat di kawasan itu, tetapi dinasihatkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengubah rancangannya kerana tanah itu tidak sesuai.

"Selain itu, terdapat kebakaran bawah tanah di kawasan itu, manakala kejadian terakhir dilaporkan pada 2011," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS