Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM serbu kediaman tan sri berhubung siasatan projek fleet
Diterbitkan:  Jan 20, 2024 10:58 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Suruhanjaya Siasatan Pencegahan Rasuah (SPRM) menyerbu kediaman seorang ahli perniagaan bergelar tan sri semalam bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 billion.

Turut diserbu empat syarikat termasuk salah satu daripadanya merupakan syarikat pembekal kenderaan kerajaan.

Laporan media memetik ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan pengarah siasatan, Hishamuddin Hashim mengesahkan serbuan itu.

Utusan Malaysia memetik sumber melaporkan lebih 100 akaun persendirian dan syarikat yang di bawah kawalannya diperolehi SPRM bagi semakan lanjut.

Bagaimanapun tiada pembekuan akaun dibuat.

Sejak 1993 sebuah syarikat tunggal, Spanco Sdn Bhd, memegang konsesi untuk membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan.

Namun apabila kontrak tamat pada 2019 selepas itu, tender terbuka dilancarkan untuk penganugerahan kontrak seterusnya.

Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsesi dan menggondol kontrak itu melalui surat hasrat (LOI) pada tahun itu.

Bagaimanapun, LOI itu ditamatkan pada 2020 dan tender dianugerahkan kepada Spanco.

Pada Julai tahun lepas, pengasas Berjaya, Vincent Tan memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan dan Spanco berhubung LOI yang ditamatkan.

Tan juga mendakwa kontrak tersebut dianugerahkan kepada Spanco walaupun harga yang ditawarkan syarikat itu lebih tinggi.

Dakwaan Tan mendorong gesaan agar SPRM melakukan siasatan.

Bagaimanapun, tiada perkembangan mengenai siasatan itu sehinggalah serbuan dilakukan semalam.

SPRM baru-baru ini turut menyiasat bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan keluarganya, serta Mirzan Mahathir - anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jutawan yang kediamannya diserbu agensi antirasuah itu semalam dilaporkan ialah rakan rapat Daim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS