Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
408 mangsa banjir di Sarawak malam ini
Diterbitkan:  Jan 19, 2024 10:18 PM
Dikemaskini: 2:18 PM

Jumlah mangsa banjir di dua daerah di Sarawak meningkat sedikit setakat 8 malam ini dengan 408 orang daripada 132 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 335 orang petang tadi.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, seramai 353 orang daripada 105 keluarga berlindung di dua PPS dalam daerah Debak, Betong yang merangkumi 212 mangsa di PPS Dewan Perpaduan manakala 141 lagi di PPS Dewan Millenia.

Pada masa sama, seramai 55 orang daripada 27 keluarga berlindung di PPS Rumah Steven di Tatau, Bintulu manakala 27 orang daripada lapan keluarga yang terkesan akibat bencana ribut ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Assyakirin dalam daerah sama.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Johor kekal 65 orang daripada 19 keluarga yang masih berlindung di dua PPS dalam daerah Segamat.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Kedah, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya setakat malam ini iaitu Sungai Johor, Sungai Muar, Sungai Kedah, Sungai Arau serta Sungai Terengganu.

Menurut Nadma, 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS