Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jambatan kekal akan dibina di lokasi jalan mendap di Pekan

Sebuah jambatan kekal di Kilometer 73, Seksyen 102, FT 12 Lebuhraya Kuantan-Segamat di Pekan akan dibina bagi menggantikan jambatan Bailey yang dipasang susulan kejadian jalan mendap baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata setakat ini pihaknya telah pun membuat permohonan peruntukan bernilai RM17 juta kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi pembinaan jambatan kekal berkenaan.

"Kita merancang untuk membina jambatan kekal di jalan asal laluan ini bagi menggantikan jambatan Bailey yang dipasang buat sementara waktu.

“Jangkaan pembinaannya dianggarkan mengambil masa dua atau tiga tahun," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pemasangan jambatan Bailey itu hari ini.

Ahmad berkata proses pemasangan jambatan Bailey jenis Acrow 700XS (double lane) sepanjang 30.48 meter dengan lebar 9.3 meter itu adalah paling pantas iaitu hanya tiga hari selepas dimulakan pada 11 Jan lepas, berbanding kebiasaan yang memakan masa lima hingga tujuh hari.

Proses pemasangan itu melibatkan 31 tenaga kerja termasuk masing-masing 12 orang dari Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan JKR Daerah Temerloh serta tujuh dari Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Pahang Barat. 

Ahmad bagaimanapun berkata laluan itu masih tidak dapat dibuka kepada orang ramai kerana belum ditar ekoran cuaca hujan yang berterusan, dengan kerja hamparan premix akan dilaksanakan segera bergantung kepada keadaan cuaca. 

"Jika ada cuaca panas walaupun setengah hari ia sudah membolehkan kita untuk tar jalan ini, jadi saya berharap orang ramai bersabar dengan hal ini," katanya sambil menjelaskan kos bagi kerja tar jalan tersebut bernilai RM550,000.

Dia berkata setakat ini selain di Pekan, dua lagi jambatan Bailey yang telah dipasang akibat bencana pada musim tengkujuh kali ini ialah di Melaka dan Jeli, Kelantan yang masing-masing siap dipasang pada 21 Nov dan 8 Jan lalu. 

Pemasangan jambatan Bailey di Pekan dibuat selepas jalan itu mendap pada 1 pagi 7 Jan lalu, dipercayai akibat pergerakan air berikutan limpahan sungai berhampiran setelah hujan berterusan, menyebabkan jalan itu ditutup kepada semua jenis kenderaan. 

"Jambatan ketiga di Pekan dan ini adalah pembinaan jambatan Bailey paling pantas, hanya tiga hari siap. Ia mula dibina pada Khamis (11 Jan) dan siap hari Sabtu. 

"Selalunya prosedur memasang jambatan Bailey ini ambil masa antara lima hingga tujuh hari. 

"Namun, kerana faktor cuaca hujan sepanjang minggu lepas, kerja penurapan untuk laluan masuk ke jambatan ini belum dapat disiapkan," katanya. 

Ahmad turut memaklumkan pihak JKR masih mempunyai stok jambatan Bailey yang disimpan di stor mereka untuk tujuan kecemasan. 

"Jambatan Bailey ini ada dalam simpanan stor JKR di Johor Bahru, Johor; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Petaling, Selangor; Temerloh, Pahang; Kinta, Perak; Kedah dan Machang, Kelantan. 

"Macam jambatan yang dipasang di sini (Pekan) dari (stor) Temerloh, nilainya RM5.2 juta dan ia boleh dibuka semula untuk dipasang di lokasi lain. 

"Kita (JKR) ada stok 1,780 kaki lagi (panel besi bermodular) yang boleh digunakan untuk memasang 17 jambatan Bailey, jika berlaku masalah seperti ini," katanya lagi. 

Sebelum ini, jambatan Bailey dipasang di Kampung Stulang Daeng, Melaka pada Nov lalu, susulan kejadian jambatan asal di kampung itu roboh pada 16 Okt tahun lalu. 

Jambatan Bailey kedua pula siap dipasang pada 8 Jan lalu di Jalan Dabong-Jeli, dekat Jeli, Kelantan. 

Ia dibina susulan laluan itu terputus akibat aliran air deras. 

Pemasangan itu dilakukan 40 pegawai dari Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Jajahan Machang, Kelantan; JKR Daerah Temerloh, Pahang dan JKR Daerah Kinta, Perak. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS