Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semak fakta: Alicafe dan Kluang Rail Coffee halal, tiada kaitan DAP
Diterbitkan:  Jan 17, 2024 4:12 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menafikan dakwaan tular baru-baru ini yang mendakwa jenama Alicafe menggunakan gelatin babi dalam produk kopi segeranya.

Kenyataan itu dibuat Jakim ekoran munculnya sekali lagi keratan akhbar yang memaparkan berita pada 2011 mengenai penggunaan gelatin babi dalam produk kopi oleh syarikat lain.

Bagaimanapun isu tersebut ditularkan semula dan dikaitkan dengan Alicafe.

Sebenarnya produk yang menjadi tumpuan pada 2011 itu bukanlah Alicafe tetapi jenama lain yang tidak berkaitan dengan syarikat terbabit, iaitu Kluang Rail Coffee milik Rail Passion Sdn Bhd (Rail Passion).

Pada 2011, pengarah Rail Passion dibicarakan atas pertuduhan menjual serbuk kopi yang mengandungi DNA babi tanpa melabelkannya pada bungkusan produk.

Jakim berkata isu itu telah diselesaikan dan kedua-dua pihak - Kluang Rail Coffee dan Alicafe - kini disahkan halal dan tidak menggunakan gelatin babi.

“Berdasarkan semakan kami, keratan berita itu diterbitkan pada 2011 dan isu yang telah diselesaikan itu ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kluang Rail Coffee merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

"Produk Alicafe yang merupakan pemegang SPHM pula tiada kena mengena dengan produk Kluang Rail Coffee berkenaan," kata agensi berkenaan.

Jakim menambah, pengauditan halal dilakukan dengan memeriksa seluruh rantaian pemprosesan produk di lapangan dengan teliti oleh pihak berautoriti.

Dalam mesej dan imej tular yang melibatkan Alicafe, piahk terbabit turut menggesa agar produk itu diboikot dan didakwa sebagai "Cina DAP".

Bagaimanapun, kumpulan pemeriksa fakta Jomcheck tidak menemui sebarang kaitan antara di antara Alicafe dan parti politik itu.

Dalam perkembangan berkaitan, satu imej menyarankan perbezaan tahap pensijilan halal turut menjadi tular di media sosial serta aplikasi pemesejan.

Imej itu kelihatan sebagai poster untuk kempen Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk membezakan logo pensijilan halal mengikut jenis pemilikan.

Tak dibeza berdasarkan agama

PPIM mencadangkan logo hijau digunakan untuk produk syarikat milik penuh Muslim, oren untuk produk usaha sama Islam dan bukan Islam dan kuning untuk produk halal keluaran bukan Islam.

"Kami cuba melakukan yang terbaik supaya pengguna Islam tidak mudah dimanipulasi," kata poster itu yang turut disertakan dengan pautan untuk menderma kepada NGO terbabit.

Semakan oleh Jomcheck mendapati bahawa kempen itu dilancarkan oleh PPIM pada 2020.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan tahun lepas, Jakim berkata ia tidak akan membezakan produk yang disahkan halal berdasarkan agama pengeluar supaya semua produk yang disahkan halal mempunyai peluang yang sama di pasaran.

Jakim berkata pengeluar juga boleh mencetak logo dalam sebarang warna yang sesuai untuk pembungkusan mereka.

Imej komposit artikel berita 2011 dan produk Alicafe kini beredar di platform WhatsApp.

Malaysiakini adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta Malaysia JomCheck.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak sesuatu fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (WhatsApp sahaja) atau melalui pautan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS