Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa hendap alami trauma teruk, hidup dalam ketakutan

Mangsa kes hendapan memberitahu Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, dia berada dalam ketakutan sejak dihujani dengan "mesej cinta" daripada tertuduh, Mohd Safiq Rosli.

Menurut Acacia Mardiana Daud, tertuduh berulang kali menghantar mesej kepadanya melalui media sosial bagi menyatakan perasaan.

Kata Acacia ia berlanjutan sejak 2016 sehinggalah tahun lalu.

"Saya mengalami trauma teruk dan rasa takut terhadap keselamatan saya sehingga tak berani keluar, sehingga mengganggu kerja dan aktiviti seharian saya dan masa depan saya.

"Saya hidup dalam ketakutan," kata jurugambar itu yang menjawab soalan timbalan pendakwa raya Zilfinaz Abbas.

Perbicaraan dijalankan di hadapan majistret Sasha Diana Sabtu.

Tiga daripada sekian banyak mesej yang dihantar tertuduh - bertarikh 15, 17 dan 21 Julai tahun lalu - dibacakan di mahkamah.

Acacia Mardiana Daud

Acacia hadir sebagai saksi pendakwaan pertama hari ini dan memberi keterangan melalui aplikasi Zoom. Jason Wee bertindak sebagai peguam pemerhati untuk Acacia.

Mahkamah memerintahkan dia tidak membaca kenyataan saksinya dengan kuat sebelum pihak pendakwaan meneruskan pemeriksaan utama.

Pada 20 Dis tahun lalu Mohamad Safiq membuat pengakuan bersalah di hadapan Sasha Diana apabila dia didakwa menghendap Acacia namun majistret menolaknya.

Sasha Diana memutuskan pengakuan tersebut ditolak kerana wujud isu ketidakwarasan yang dibangkitkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jan untuk membicarakan Mohamad Safiq dan Shaha Diana dijangka memberikan keputusannya hari ini.

Sebelum ini Acacia membuat empat laporan polis berasingan iaitu satu di Balai Polis Damansara, dua di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam dan satu lagi di Balai Polis Dang Wangi - dari 2016 hingga tahun lepas.

Dalam perbicaraan hari ini, peguam Mohamad Safiq, Fithril Hakim Ab Jalil, bagaimanapun tidak menyoal balas Acacia.

Sebelum ini gangguan dialami Acacia menarik perhatian ramai elepas dia menceritakan pengalamannya di platform X pada Julai tahun lalu.

Mohamad Safiq merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kesalahan menghendap.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS