Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cabar kredibiliti: Lim terima pernyataan saksi utama SPRM

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berjaya mendapatkan salinan pernyataan daripada Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang direkod SPRM dalam usaha untuk mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan itu dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Peguamnya, Haijan Omar memaklumkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa pasukan pembelaan menerima pernyataan saksi Zarul yang diberikan kepada SPRM semasa siasatan.

Dokumen tersebut diserahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sebutan kes hari ini.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan dua hari mulai 26 Feb untuk mendengar perbicaraan pendakwaan Lim terhadap pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) itu.

Pada 9 Januari lalu, Azura memutuskan sebahagian pernyataan saksi pendakwaan ke-23 yang direkodkan oleh SPRM itu, boleh digunakan pada prosiding mencabar kredibilitinya.

Dia seterusnya memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan sejumlah 31 daripada 108 muka surat kepada pihak pendakwaan untuk digunakan pada prosiding selanjutnya. Pernyataan itu melibatkan muka surat 5 hingga 14, 23 hingga 27, 52 hingga 53, 69 hingga 72 dan 99 hingga 108.

Pada 2 November lalu, Azura membenarkan pasukan pembelaan memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul yang merupakan saksi penting pendakwaan pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.

Zarul ketika itu pengarah CZCSB)iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB sebelum ini dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG).

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS