Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
17 kes terjun jambatan direkod di Kelantan sejak 2021

Sebanyak 17 kes terjun jambatan disyaki ada kaitan dengan cubaan membunuh diri direkodkan di Kelantan sejak 2021 sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, berkata daripada jumlah tersebut 15 daripada mangsa ditemui mati lemas manakala seorang berjaya ditemukan selamat.

Katanya dalam kes terbaru semalam ia melibatkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang dilaporkan terjun ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, Pasir Mas.

Setakat ini, katanya, JBPM Kelantan masih menjalankan operasi mengesan mangsa.

“Antara jambatan yang paling kerap dijadikan lokasi terjun adalah Jambatan Sultan Yahya Petra yang mencatatkan sembilan kes, Jambatan Tendong (tiga kes), Jambatan Salor (dua), manakala masing-masing satu kes di Jambatan Wakaf King, Jambatan Tok Bali dan Jambatan Pak Nik Lah.

“Bagi statistik mengikut tahun, JBPM Kelantan mendapati pada 2021 ada tiga kes terjun jambatan, tujuh kes pada 2022 dan enam kes pada 2023.

"Pada tahun ini sudah ada satu kes iaitu semalam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kawalan Operasi Bencana di Tendong, hari ini.

Zainal berkata kes terjun jambatan tersebut agak membimbangkan dan berharap pihak tertentu turut mencari jalan penyelesaian termasuk membina pagar di laluan tepi jambatan bagi mengelak kejadian berulang.

Sementara itu mengulas mengenai kes semalam, Zainal berkata, JBPM Kelantan menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada jam 7.48 malam.

“Sebaik menerima laporan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong bergegas ke lokasi dengan dibantu pasukan penyelamat di air dari Pengkalan Kubor dan Pengkalan Chepa.

“Operasi mencari di permukaan Sungai Kelantan dilakukan sejak semalam dan akan diteruskan hari ini termasuk dengan bantuan Unit K9 dari Subang, Selangor,” katanya.

Tambah Zainal, operasi akan terus dijalankan sehingga mangsa berjaya ditemukan dan pihaknya yakin mangsa tidak akan hanyut jauh kerana berkemungkinan tersangkut di sepanjang sungai itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS