Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Akta tetapkan penggal parlimen bukan keutamaan

Anwar Ibrahim berkata, penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap (FTPA) bukanlah keutamaan buat kerajaan pada ketika ini.

Menurut perdana menteri, walaupun dia berminat untuk melihat isu tersebut dengan lebih mendalam, setakat ini belum ada perbincangan dibuat mengenainya.

Bahkan pada pandangan Anwar "agak pramatang" untuk kerajaan membuat keputusan mengenai FTPA.

“Kerajaan belum mendapat sebarang komen daripada peguam negara (AG) dan belum ada kata sepakat dalam kalangan pemimpin kerajaan perpaduan... kita lalui dengan proses itu," katanya.

Apabila ada cadangan dikemukakan nanti, kata Anwar, kerajaan akan menelitinya dengan sebaik mungkin.

"Tetapi bagi saya, ia bukan keutamaan (buat masa ini),” katanya.

Perdana menteri ditemui media selepas menghadiri pelancaran AI Untuk Rakyat di Pusat Kesenian & Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia, Serdang hari ini.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar satu rang undang-undang digubal bagi membolehkan sesebuah kerajaan, parti atau gabungan parti dikekalkan selama sepenggal.

Kata Ahmad Zahid cadangan itu dikemukakan ekoran kemelut politik yang berpanjangan terutama selepas PRU ke-14 pada 2018 yang menyaksikan pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali.

Tidak dapat dipastikan juga jika cadangan dikemukakan Presiden Umno itu merupakan model FTPA.

Mutakhir ini juga pembangkang mendakwa mereka sudah bersedia mengambil alih kerajaan kerana memiliki sokongan yang mencukupi di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun kesahihan dakwaan tersebut tidak dibuktikan setakat ini.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula menafikan wujud sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan namun menegaskan langkah tersebut dibenarkan oleh perlembagaan negara.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Anwar mengulangi komitmen kerajaan untuk mengkaji FTPA, dan menegaskan ia bukanlah masalah besar untuk melalui proses berkenaan.

“Masalahnya sekarang adalah kerana bagaimana ia (isu FTPA) dilihat… dan cubaan oleh pembangkang.

“Mereka (pembangkang) sangat lemah sekarang. Mereka tidak menguasai satu pertiga daripada sokongan (Dewan Rakyat). Mengapa kita perlu mempersoalkan perkara ini?

“Keutamaan saya ialah bagaimana kita boleh mengubah negara ini dari segi tadbir urus, transformasi digital kepada negara yang lebih besar, itu keutamaan saya,” tambah beliau.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS