Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bagi Mahathir semua bukan Melayu tak setia kecuali kroni dia - PM

Kerajaan, kata Anwar Ibrahim, sama sekali tidak bersetuju dengan pandangan dikemukakan Dr Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati terhadap tahap kesetiaan kaum India dan Cina Malaysia.

Pada masa sama perdana menteri menyatakan memang diketahui bahawa Mahathir selalu bersikap sebegitu termasuk terhadap orang Melayu sendiri.

Misalnya, kata Anwar, Mahathir pernah menuduh bangsa Melayu sebagai pemalas, dan kini mendakwa orang Cina dan India Malaysia sebagai tidak setia kepada negara ini.

"Memang (dia) terkenal (dengan dakwaan seperti) Melayu malas, orang India dan Cina kurang setia.... melainkan beberapa kroni dia," katanya kepada media di Serdang hari ini.

Tambah perdana menteri semua rakyat Malaysia adalah setia kepada negara ini.

"Kenyataan itu kita bantah dengan sekeras-kerasnya," kata Anwar.

Terdahulu Ahli Parlimen Tambun itu menghadiri majlis peluncuran Artifical Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia.

Beberapa hari lalu Mahathir ditanya mengenai kedudukan warganegara Malaysia dalam kalangan bukan Melayu dalam temu bual stesen TV satelit India, Thanthi TV.

Dia yang kini menjadi penasihat kepada empat kerajaan negeri pimpinan PN itu menganggap rakyat kaum Cina dan India Malaysia tidak mempunyai kesetiaan penuh kepada negara.

Mahathir juga menuding jari kepada "pendatang" yang dianggapnya terus mengamalkan budaya serta adat masing-masing meskipun sudah menjadi warganegara Malaysia.

Kenyataan itu disanggah pelbagai pihak termasuk Gerakan yang menjadi parti komponen PN.

Sementara itu ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu, Anwar juga tidak berlapik dalam kata-katanya apabila memetik "bekas pemimpin" negara yang didakwanya giat cuba menutup kesalahan mereka dengan menghina semua kaum.

Anggap tak ada asas

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas Anwar merujuk kepada Mahathir apabila memetik kenyataan bahawa "orang Cina dan India tidak setia kepada negara" ini.

Katanya pandangan sebegitu adalah lapuk dan hanya akan merosakkan negara.

"Saya harap rakyat khususnya generasi muda tidak melayan pandangan pecah-belah sebegini kerana kita perlu fokus untuk mengangkat martabat negara,” katanya.

Pengerusi PH itu turut menambah pada pandangannya semua rakyat - tanpa mengira kaum - memberikan kesetiaan kepada negara.

“Kita mesti menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan kita mesti menghayati kekuatan rakyat,” tambahnya.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata dia tidak terlalu memikirkan penolakan pembangkang terhadap "nasihat" untuk memfailkan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri sebelum sidang Dewan Rakyat bermula bulan depan.

Sebelum ini Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga seorang peguam, Hassan Abdul Karim, menyarankan agar PN mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat jika mereka ingin menguji tahap sokongan ahli parlimen kepada Anwar.

Bagaimanapun ia ditolak oleh PN seperti yang dinyatakan bekas ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Ia berlaku ketika pemimpin dan penyokong PN mendakwa mereka sudah memiliki sokongan - melalui surat akuan bersumpah (SD) - yang mencukupi bagi menjatuhkan kerajaan.

“Ini hanyalah sesuatu yang ditularkan oleh pembangkang yang terdesak. Malah untuk Langkah Dubai pun saya tak mengulas.

"Jika ada asas yang kukuh (mengenai dakwaan tersebut), saya akan ambil perhatian, tetapi ini tak ada asas," kata Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS