Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan siasatan kebakaran rumah Ngeh dijangka siap minggu ini

Laporan hasil siasatan kebakaran rumah Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham pada 10 Jan lalu dijangka siap sepenuhnya minggu ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata laporan itu membabitkan keputusan analisis dua bahan bukti utama iaitu 'molotov cocktail' yang diperoleh di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan bomba telah dilakukan secara menyeluruh, kita hanya menunggu pengesahan bagi menentukan bahan apa yang ditemui dalam dua bukti yang kita hantar ke makmal di Kuala Lumpur.

"Kalau ikut SOP, ia memerlukan tempoh 10 hari untuk memperoleh keputusan. Jadi saya jangka kemungkinan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi keputusannya akan diperoleh bagi kita lengkapkan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis amanat Pengarah Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya di Ipoh, hari ini

Sayani berkata siasatan yang dilakukan pihak bomba adalah bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sama ada melibatkan pembakaran atau disebabkan perbuatan khianat.

"Sekiranya keputusan yang diperoleh daripada makmal menyatakan adanya unsur khianat di lokasi kejadian, maka kita akan membuat makluman kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas itu di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar di Perak, awal pagi Rabu lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS