Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Page gesa Kementerian Pendidikan perluaskan DLP di sekolah

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) agar memperluaskan Program Dwibahasa (DLP) ke lebih banyak sekolah di seluruh negara.

PAGE dengan disokong 36 kumpulan lain berkata ia telah menyerahkan memorandum kepada 31 menteri termasuk KPM meminta agar sokongan untuk memperluaskan program itu.

Pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata memorandum itu juga meminta Kementerian Pendidikan membatalkan arahan sebelum ini yang dikeluarkan kepada sekolah yang melaksanakan program berkenaan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu kelas bukan DLP, kerana menurutnya ia bertentangan dengan garis panduan.

“Menambah jumlah kelas bukan DLP tiada dalam garis panduan…kami setuju dengan garis panduan itu, kami hanya mahu garis panduan sedia ada tentang DLP dipatuhi dan tidak menambah sekatan lain untuk menjejaskan kejayaan DLP.

“Kerajaan mahu penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris dipertingkatkan sambil memartabatkan bahasa Melayu…DLP sememang begitu tujuannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noor Azimah berkata kekurangan penguasaan bahasa Melayu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalang pelajar daripada menghadiri kelas DLP, sebaliknya libatkan mereka dengan program Bahasa Melayu dan tidak menyekat mereka daripada memilih DLP.

Menurutnya memorandum itu, juga mahu agar jumlah sekolah DLP sedia ada dikekalkan, pada masa yang sama menggalakkan dan menyokong sebahagian sekolah DLP untuk memperluaskan program DLP melibatkan sekolah, kelas dan muridnya.

Beliau berkata terdapat 1,600 sekolah DLP di Malaysia dengan Sarawak sahaja mempunyai 1,200 sekolah.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM tidak mempunyai sebarang isu dengan sekolah yang telah melaksanakan sepenuhnya DLP, dengan garis panduan mengenai DLP kekal tidak berubah sehingga kini.

Bagaimanapun, Fadhlina berkata KPM akan bermula dengan satu kelas bukan DLP mulai sesi persekolahan 2024/25.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS