Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dr M tak layak cakap soal kesetiaan, dia pun tak setia'

Tun Dr Mahathir Mohamad tiada sebarang hak untuk mempersoalkan kesetiaan masyarakat India di negara ini dan kenyataan sensitif yang dikeluarkan olehnya baru-baru ini tidak perlu dilayan sama sekali, menurut Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

Vigneswaran berkata MIC mengambil pendekatan untuk tidak melayan kenyataan sensitif yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu, malah akan menumpukan fokus kepada perkara lain yang lebih penting.

"Kesetiaan ini adalah satu konsep yang tiada kena mengena dengan Tun Mahathir kerana dia tak setia pada Umno, dia tak setia pada Bersatu, dia tak setia pada PH yang telah melantik beliau sebagai perdana menteri pada 2018.

"... kita tak nak komen pada orang yang tak faham erti setia jadi kalau dia cakap soal kesetiaan biarlah dia cakap kalau dia faham dia pun setia, tak payahlah (untuk dilayan) kita ada kerja lain," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Ponggal berdekatan bangunan MIC di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Mahathir dalam sebuah temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Ketika ditanya jika MIC akan mengambil sebarang tindakan terhadap kenyataan berbaur perkauman itu, Vigneswaran berkata ia terpulang kepada pihak kerajaan.

"Bagi pihak kami di MIC kita dah buat keputusan di bawah Barisan Nasional (BN) pada masa itu dan kita berpegang pada prinsip itu (menghormati perlembagaan)," katanya.

Dalam masa sama, dia turut mempersoalkan status tokoh negarawan yang diterima Dr Mahathir.

"... sebab erti negarawan ini di Malaysia di mana rakyatnya ialah majmuk, negarawan sepatutnya untuk setiap kaum, komen dia tak mengguris hati saya sebab kami setia tetapi dia yang tak faham erti setia itu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS