Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis masih siasat motif serangan bom botol di rumah Ngeh

Polis Perak masih menyiasat motif di sebalik insiden serangan di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham pada 10 Jan lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata kes itu masih disiasat susulan penahanan seorang lelaki pada 12 Jan lalu.

Yusri berkata, suspek yang ditahan di Shah Alam, Selangor itu akan direman sehingga esok (16 Jan) untuk siasatan lanjut.

Ditanya jika perintah tahanan reman terhadap suspek akan dilanjutkan, Yusri berkata "tunggu keputusan esok".

Pada Sabtu lalu, Yusri mengesahkan lelaki yang berumur dalam lingkungan 30-an itu bukan ahli mana-mana parti politik dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Semalam Yusri mengesahkan suspek negatif dadah.

Dia juga dilaporkan berkata pihak polis telah merampas dua telefon bimbit daripada suspek.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian awal pagi pada Rabu lalu, tiga buah kederaan milik Ngeh termasuk sebuah Mercedes Benz dan bumbung anjung rumahnya di Ayer Tawar, Manjung terbakar akibat serangan bom botol atau molotov cocktail.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Susulan kejadian itu, Ngeh berkata dia memaafkan individu yang melakukan serangan itu namun menyalahkan komponen PN iaitu PAS dan Bersatu kerana mencetuskan ketegangan yang membawa kepada insiden itu.

Bagaimanapun, pemimpin PAS dan Bersatu membidas pemimpin DAP Perak itu atas dakwaan berkenaan.

Sebelum ini pelbagai pihak termasuk pemimpin PN mengutuk insiden terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS