Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir patut lebih waras beri pandangan, kata MP Segamat
Diterbitkan:  Jan 15, 2024 1:10 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Pemimpin PKR terus menyelar kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang menganggap warganegara bukan Melayu - khususnya India dan Cina - di negara ini tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, R Yuneswaran, berkata kenyataan Mahathir adalah biadab dan prejudis kerana mengundang kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya kaum bukan Melayu termasuk masyarakat India selama ini banyak berbakti dan berkorban untuk kemakmuran, pembangunan serta kemajuan Malaysia.

"Saya sendiri menyaksikan temu bual berbahasa Inggeris berdurasi kira-kira 30 minit tersebut.

"Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik dan menjunjung penuh kedaulatan tanah air yang diangkat oleh pelbagai kaum ini, saya secara peribadi terkilan, sedih dan marah terhadap kenyataan yang keluar dari mulut seorang negarawan terbabit.

"Beliau sepatutnya menjadi figura yang waras dalam berbicara soal perpaduan, lebih-lebih lagi ia melibatkan sensitiviti masyarakat India dan Cina.

"Kenyataan jelik tersebut merupakan satu penghinaan terhadap perpaduan Malaysia yang selama ini dibina dengan nilai-nilai kesetiaan tanpa berbelah-bagi kepada negara tercinta ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahathir Mohamad

Terdahulu, bercakap dalam temu bual eksklusif dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

"Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil," katanya ketika hos bertanya jika seseorang itu tidak boleh kekal setia kepada negara didiami sambil komited kepada asal usul mereka.

Bekas perdana menteri dua kali itu kemudian berkata bahawa "masalah" dia ialah apabila "pendatang" (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.

Jadi ejen pendamai

Apabila hos program itu bertanya sama ada Mahathir menjangkakan orang bukan Melayu "berasimilasi sepenuhnya" menjadi orang Melayu atau tidak, Mahathir menjawab dengan tegas: "Ya... mereka sepatutnya begitu; dahulu kami ada orang India, Pakistan, Arab, dan Afrika, yang kini Melayu, dalam maksud mereka berbahasa Melayu di rumah, budaya mereka adalah Melayu."

Yuneswaran menegaskan ungkapan yang dizahirkan Mahathir terhadap masyarakat India adalah sejenis diskriminasi dan boleh merencatkan perpaduan.

"Mewakili masyarakat India pelbagai segmen di negara ini, saya menuntut agar Mahathir segera memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya masyarakat India dan Cina yang amat terkesan dengan perspektif dan persepsi tidak warasnya mengenai Malaysia yang sememangnya merupakan bumi perpaduan yang dia sendiri pernah pimpin selama lebih 23 tahun.

"Seiring dengan pendirian menteri perpaduan, saya ingin menasihati Mahathir serta watak-watak hipokrit yang selama ini bersekongkol dengannya untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan apa jua kenyataan berunsur diskriminasi perkauman.

"Sebaliknya, kita sebagai figura yang mewakili rakyat atas kapasiti masing-masing perlu menjadi ejen pendamai yang sentiasa menyampaikan kata-kata positif yang boleh mengikat lagi ikatan perpaduan sesama bangsa, agama dan etnik," katanya yang juga Ahli Parlimen Segamat.

Dalam perkembangan sama Ketua PKR Kuala Selangor Thiban Subbramaniam membuat laporan polis terhadap Mahathir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Dalam laporan itu dia menggesa polis menyiasat kenyataan Mahathir yang didakwa menghasut sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ini adalah satu tindakan yang jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf masyarakat India dan Cina sebagai warganegara Malaysia.

"Saya khuatir tindakan Mahathir akan menggugat keharmonian dan perpaduan negara.

“Saya buat laporan polis supaya perkara ini disiasat bagi memastikan ia tidak mencetuskan ketegangan antara kaum," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS