Pendakwa Raya tidak perlu memberikan alasan di sebalik mengapa pertuduhan jenayah dimulakan atau dihentikan terhadap seseorang di mahkamah, kata Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh.
Dalam ucapan sulungnya pada pembukaan Tahun Perundangan 2024 pagi ini, Terrirudin berkata, pendakwa raya diberi kuasa untuk membuat sebarang keputusan sedemikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Semasa melaksanakan kuasa ini (di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan), pendakwa raya tidak diwajibkan untuk memaklumkan mana-mana pihak (atas sebab di sebalik penarikan balik pertuduhan terhadap tertuduh).
"Pejabat Pendakwa Raya mesti dibenarkan untuk menunaikan kewajipannya dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
"Pihak berkepentingan mesti memahami peranan pendakwa raya," kata Terrirudin.
Semenatar itu, Bernama melaporkan Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata Pendakwa Raya tidak terikat untuk memberikan sebarang alasan kepada mana-mana pihak terhadap keputusannya untuk menghentikan pertuduhan terhadap orang yang dituduh.
Beliau berkata Pendakwa Raya mempunyai hak untuk memulakan dan menghentikan pertuduhan jenayah di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
"Peranan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya ditetapkan dengan baik dan dilindungi di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
"Budi bicara pendakwaan untuk memulakan dan menghentikan pertuduhan jenayah adalah pelaksanaan budi bicara yang sah oleh Pendakwa Raya selepas meneliti semua keterangan yang dikemukakan oleh badan penyiasatan dan juga mengambil kira keperluan undang-undang dan prosedur," katanya semasa berucap di Majlis Pembukaan Tahun Undang-undang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata Pendakwa Raya mesti dibenarkan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana undang-undang bertulis, tanpa campur tangan luar yang tidak perlu, dan semua pihak berkepentingan, mesti memahami serta menghormati hak prerogatif Pendakwa Raya, dan mesti bertindak adil terhadap semua pihak tanpa bersikap selektif terhadap perkara-perkara tertentu.
Ahmad Terrirudin seterusnya berkata ia juga termasuk berkaitan perkara-perkara yang kelihatan remeh, kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) masih perlu bertindak balas terhadap setiap perkara secara profesional.
“Bagaimanapun, saya benar-benar mengiktiraf dan menghargai peranan Badan Peguam Malaysia dalam persaudaraan undang-undang kami, dan saya tidak ragu-ragu untuk bekerja secara progresif dengan Badan Peguam Malaysia dalam pelbagai perkara undang-undang, bagi meningkatkan dan menambah baik sistem perundangan kita,” katanya.
Ahmad Terrirudin berkata AGC telah berjaya mempertahankan kepentingan kerajaan dan mencapai beberapa kejayaan dalam kes-kes berkaitan kepentingan awam, termasuk petisyen pilihan raya dan saman melibatkan individu berprofil tinggi.
“Kadar kejayaan yang tinggi dalam mempertahankan kes-kes ini adalah disebabkan komitmen kerajaan dalam menegakkan Kedaulatan Undang-undang dan mengendalikan jentera kerajaan seiring dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain sedia ada.
“Saya ingin menyebut, AGC sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan dasar kerajaan hari ini diterjemahkan dengan baik ke dalam badan perundangan bagi mencapai objektif yang dihasratkan,” tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Terrirudin berkata menyalahgunakan dan memanipulasi isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) mempunyai kecenderungan mengganggu dan membahayakan kehidupan rakyat serta keselamatan negara.
“Kita sedar mengenai bahaya penyalahgunaan dan manipulasi isu berkaitan 3R. Oleh itu, saya tidak akan teragak-agak untuk membawa mana-mana pesalah ke muka pengadilan dan mengambil tindakan tegas, pastinya tertakluk kepada bukti, untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman di negara ini, termasuk menggunakan Akta Hasutan 1948 dan mana-mana undang-undang bertulis lain (jika perlu) ," katanya.