Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah imbas kembali konsep Bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020
Diterbitkan:  Jan 15, 2024 8:30 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Pada 1991, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020 yang digagaskannya, antara lain untuk mewujudkan negara Malaysia yang bersatu menerusi konsep Bangsa Malaysia.

Rafidah Aziz, yang berkhidmat sebagai menteri selama lebih dua dekad di bawah pentadbiran Dr Mahathir, mengimbas kembali betapa wawasan itu merangkumi kepelbagaian kaum dan asal keturunan seluruh rakyat Malaysia.

"Kini sudah 2024, marilah kita terus menghormati kepelbagaian kita dan menerimanya sepenuh hati. Marilah kita bersatu dan terus membina Malaysia yang lebih kuat, berdaya saing dan dihormati.

"Dan tidak membenarkan unsur politik menyebabkan perpecahan di kalangan kita," katanya.

Kenyataan itu dikekuarkan ketika Dr Mahathir sedang mempertikai kankesetiaan orang Cina dan India di Malaysia.

Tanpa menyebut sebarang nama, Rafidah membangkitkan ada pihak yang menyuarakan pandangan berkenaan siapakah orang Malaysia.

"Negara kita sudah merdeka daripada penjajah selama 67 tahun dan telah menjadi Malaysia yang bersatu selama lebih 60 tahun. Warganya adalah orang Malaysia.

"Mungkin inilah masanya kita benar-benar bersama dengan solidariti sebagai orang Malaysia yang bersatu, menghormati dan menerima kepelbagaian di kalangan kita," katanya.

Katanya lagi, tiada keperluan untuk orang Malaysia mempersoalkan satu sama lain berkenaan kesetiaan dan rasa cinta kepada negara.

"Malah, mereka yang memberi keaiban kepada negara, dan menyebabkan rasa tidak hormat orang lain kepada Malaysia, tidak peduli terhadap imej baik negara."

Dia juga menyuarakan penghargaan kepada warga Malaysia, termasuk golongan muda, yang mengharumkan nama negara menerusi pencapaian mereka, terutama di pentas dunia.

Dr Mahathir, Daim dan Rafidah ketika kempen PRU 2018

"Mereka melakukannya sebagai warga Malaysia, dan ada yang mencapainya tanpa bantuan kewangan kerajaan. Namun, mereka kekal sebagai orang Malaysia," katanya.

Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kali kedua pada 2020 - tahun sama dia mengharapkan wawasannya tercapai - memang tidak asing dengan kenyataan-kenyataan yang kontroversi.

Wawasan 2020 menggariskan sembilan cabaran buat Malaysia, termasuk untuk mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.

Selepas tewas dalam PRU 2022, Mahathir dilihat mula berpihak kepada pembangkang dan kian kerap menyentuh isu berkaitan kaum dan agama.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS