Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU khas: Kumpulan pendesak reformasi institusi alu-alukan cadangan Zahid
Diterbitkan:  Jan 14, 2024 4:16 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Sebuah kumpulan pendesak reformasi institusi mengalu-alukan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkenalkan rang undang-undang (RUU) khas bagi mengelak kerajaan ditumbangkan pada pertengahan penggal Parlimen.

Justeru Projek – Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) menggesa kerajaan menggubal Akta Parlimen Jangka Tetap (FTPA) dalam sidang parlimen yang dijadual pada Mac ini.

“FTPA ialah janji manifesto Pakatan Harapan pada PRU15 dan salah satu pembaharuan yang diseru oleh NGO dan 52 individu dalam perutusan tahun baru 2024, yang dimulakan oleh Projek Sama.

“FTPA akan mengekang kuasa perdana menteri dalam mendapatkan perkenan Agong bagi pembubaran awal parlimen tetapi tidak menyentuh sepenuhnya kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(b) dan 43(4) untuk menahan perkenan baginda.

“Agong masih boleh menolak sebarang permintaan untuk pembubaran awal manakala PM perlu berkongsi kuasa untuk membuat permintaan sedemikian dengan rakan-rakan ahli parlimen. Ini menjadikan pilihan raya awal lebih sukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika mencadangkan rang undang-undang khas itu semalam, Ahmad Zahid berkata ia bagi mengelak situasi lalu daripada berulang.

"Jika sesebuah kerajaan diwujudkan atas (kemenangan) sesebuah parti itu yang dominan, atau gabungan parti politik itu dominan, dengan mendapat perkenan Agong, maka ia harus kekal hingga ke akhir penggal.

"Jika tidak kita akan mengalami perkara yang terdahulu (peralihan kerajaan di luar pilihan raya) dan ini tidak baik untuk negara dan rakyat," katanya.

Pengerusi BN itu dipercayai merujuk kepada Langkah Sheraton pada 2020.

Namun tidak jelas apakah Zahid mencadangkan model FTPA.

Mulakan rundingan awam

Sementara itu, Projek Sama menggesa kerajaan memulakan rundingan awam agar rang undang-undang FTPA dibentangkan dan diluluskan dalam persidangan parlimen akan datang yang akan bermula pada 26 Feb.

Mengulas lanjut mengenai akta itu, ia berkata parlimen mesti menjalani penggal penuh selama lima tahun melainkan jika salah satu daripada keadaan ini berlaku iaitu - perdana menteri hilang keyakinan di Parlimen atau majoriti dua pertiga atau lebih di parlimen meluluskan usul untuk meminta pembubaran awal.

“Dengan itu, Perdana Menteri tidak boleh, atas kehendak dan kemahuannya, berusaha untuk membubarkan parlimen sebelum penggal penuh, melainkan beliau kehilangan kuasa. Keputusan untuk mendapatkan perkenan Agong mesti terletak di dalam Dewan untuk meminimumkan langkah politik, untuk memastikan demokrasi berparlimen yang inklusif dan stabil.

“Ciri utama FTPA ialah ia boleh menghentikan sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan yang sedang berkuasa dengan mengumpul akuan berkanun (SD) daripada ahli parlimen. FTPA perlu mentakrifkan apa yang dianggap sebagai hilang keyakinan.

“FTPA boleh mengehadkan ‘hilang keyakinan’ melalui kelulusan usul tidak percaya, kekalahan usul keyakinan dan kekalahan belanjawan (Rang Undang-undang perbekalan) dalam bacaan kedua atau ketiga," jelasnya.

Ia menambah bahawa penyalahgunaan SD, dengan menggunakan ia sebagai alat untuk menjejaskan kestabilan adalah eksploitasi terhadap Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 43 mengenai kaedah untuk menentukan keyakinan Parlimen terhadap Kerajaan atau kehilangan keyakinan itu.

Sebarang pembentukan atau pemecatan kerajaan, katanya, harus berlaku melalui undi keyakinan dan perbekalaan di Dewan Rakyat di mana ahli parlimen boleh mengundi secara terbuka.

“Di sinilah FTPA boleh menutup jurang ini tanpa bercanggah atau perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan FTPA, kerajaan tidak akan terganggu dengan operasi seperti Langkah Dubai. Bukan sahaja kerajaan, masyarakat sivil, perniagaan dan setiap rakyat Malaysia boleh merancang kerja dan acara mereka untuk empat tahun akan datang, jika Parlimen ke-15 dibubarkan secara automatik pada 18 Disember 2027 dan PRU16 boleh dijangka berlangsung sekitar Februari 2028.

“Kalendar pilihan raya tetap bukan sahaja ciri dalam demokrasi presiden dan separa presiden seperti Indonesia dan Taiwan, tetapi juga semakin popular di negara demokrasi berparlimen seperti Norway, Sweden dan negeri di Australia,” tegasnya.

Tandatangan MOU

Sementara itu, badan pemantau pilihan raya Bersih turut senada dengan Projek Sama dan mengulangi gesaan agar kerajaan menggubal FTPA bagi memastikan kestabilan politik di negara ini.

Bagaimanapun, Bersih menegaskan penggubalan akta itu perlu disusuli dengan penggubalan Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF), yang saksama kepada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

"Ini bagi memastikan hak dan keadilan untuk semua ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang,” kata jawatankuasa pemandu Bersih.

Mengenai penggubalan FTPA, Bersih menyeru blok politik untuk bergerak ke hadapan untuk menambah baik gerak kerja yang memberi manfaat kepada rakyat dan menghentikan permainan politik yang merugikan masa depan negara.

"Justeru, tiba masanya pihak Kerajaan dan Pembangkang untuk duduk semeja dan bersepakat menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) Reformasi Politik demi kepentingan rakyat.

"MOU ini pernah dibuat pada era Dato Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri atas gesaan Bersih yang membolehkan wujudnya Undang-Undang Antilompat Parti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS