Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Samsuri tak perlu perbodohkan rakyat Malaysia, kata Aziz

Pemimpin DAP Aziz Bari menasihati rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan 'watak sederhana' Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendakwa parti itu relevan untuk semua kaum.

Adun Tebing Tinggi itu memberitahu Malaysiakini dia percaya PAS cuba mengetengahkan Ahmad Samsuri untuk memperbaiki kerosakan imej pelampau PAS di bawah kepimpinan presidennya sekarang, Abdul Hadi Awang.

“Dia tidak tahu bagaimana pemimpin PAS sebelum ini berurusan dengan landskap Malaysia. Hadi amat memalukan jika dibandingkan dengan pemimpin terkemuka PAS suatu ketika dahulu yang amat memahami kepelbagaian budaya Malaysia.

“Sebaliknya, Hadi memilih pendekatan ekstremisme dan perkauman, malah cuba menyalahkan orang bukan Islam kerana rasuah. Di bawah Hadi, wajah sebenar PAS ialah menggunakan agama untuk kepentingan politik sempit.

"Samsuri nampaknya tidak menyedari hakikat ini, dan dia adalah anak emas Hadi," dakwa Aziz.

Semalam, Ahmad Samsuri yang juga menteri besar Terengganu berkata PAS bukan parti ekstremis seperti Taliban atau parti 'kampung'.

Sebaliknya, katanya parti Islam itu memahami struktur masyarakat yang merangkumi berbilang kaum dan agama.

Aziz bagaimanapun berkata PAS hanya berbasa-basi mengenai masyarakat Malaysia yang berbilang budaya, tetapi parti itu tidak mempunyai idea yang jelas, dan agendanya hanya tertumpu kepada satu kumpulan.

“Pendek kata PAS pada masa ini telah menjadi pertubuhan perkauman dan berhaluan kanan sama seperti Umno selepas ia bernasib buruk pada pilihan raya umum 2008.

“PAS hari ini adalah oportunis dan sanggup menikam rakan dari belakang untuk kepentingan politiknya sendiri, dan kita melihat bagaimana PAS sanggup menjadi orang suruhan Umno dan menghancurkan Pakatan Rakyat pada 2015,” katanya lagi.

Perpecahan PAS dengan Pakatan Rakyat berlaku selepas kematian bekas mursyidul Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila Hadi dan penyokongnya menguasai parti itu. Ia juga membawa kepada perpecahan parti itu apabila sekumpulan pemimpin profesional meninggalkan parti itu dan menubuhkan Amanah di bawah pimpinan Mohamad Sabu.

“Apabila PAS menyertai BN selepas pilihan raya umum 1969, kestabilan negara adalah yang utama. Hadi tidak sehaluan dengan visi pemimpin PAS ketika itu, Asri Muda. Dia juga berbeza dengan Nik Aziz yang zuhud dan sederhana.

“Dia juga tidak setanding dengan seorang lagi bekas presiden PAS, Fadzil Noor yang pernah menjadi ketua pembangkang di parlimen selepas pilihan raya umum 1999.

“Disiplin dan kehadirannya di parlimen menjadi contoh teladan, tidak seperti Hadi yang ponteng sidang parlimen sesuka hati.

"Satu-satunya kekuatan Hadi ialah keupayaan memanipulasi agama Islam agar sesuai dengan cita-cita politiknya yang sempit," kata Aziz, yang memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan cubaan PAS untuk menggambarkan imej baiknya.

“Jangan kita lupakan fatwa Hadi Awang dahulu bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan PAS adalah kafir dan musuh Islam,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS