Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Siasatan individu 'untouchable' beri risiko pada kerajaan

Pemerhati politik berpendapat tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang "untouchable" ataupun "tidak boleh disentuh" akan memberi kesan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagi Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar), siasatan terhadap "individu tertentu" itu pastinya menjadi liku kepada kerajaan.

"Ia (siasatan ini) liku yang besar kepada kerajaan saya kira, tapi SPRM mempunyai asas untuk menjalankan siasatan, kalau tiada asas maka tiada siasatan.

"Sudah tentu ia bawa risiko kepada kerajaan, mereka yang disiasat pemimpin besar atau taikun besar risikonya ada (pada kerajaan).

"Tapi mereka (yang disiasat) tidak perlu bertindak balas jika tidak melakukan kesalahan, kecuali memang melakukan kesalahan.

"Kita berpegang kepada prinsip tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah," katanya kepada Malaysiakini.

Siasatan SPRM ke atas bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menjadi tumpuan pemerhati politik.

Daim merupakan individu yang berpengaruh dan dilihat sebagai proksi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Daim sendiri mendakwa siasatan yang dijalankan SPRM terhadapnya ketika ini merupakan satu "penganiayaan politik".

Rungkai kebenaran

Sementara itu, penganalisis politik dan geostrategis Dr Azmi Hassan pula berpandangan siasatan terhadap individu yang tidak boleh disentuh ini adalah elok bagi merungkai kebenaran.

Ini kerana, katanya, semasa pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ada individu tertentu yang "tidak boleh disentuh" ataupun disiasat.

"Semasa era Dr Mahathir 1.0 (kali pertama) banyak tuduhan yang mengatakan Tun Daim ini dan keluarganya mengaut keuntungan secara tidak sah, (tapi) tak pernah dibuktikan, Tun Daim hanya mendiamkan diri.

"Itu tidak penting, hakikatnya salah tetap salah jika mengaut keuntungan dengan cara salah dan SPRM mempunyai tanggungjawab untuk membuktikannya.

"Tun Daim pula mempunyai tanggungjawab untuk membuktikannya dia tidak bersalah secara perundangan," katanya.

Azmi Hassan

Daim dan lima anggota keluarganya telah memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap siasatan SPRM.

Dia mendakwa bahawa SPRM tidak mendedahkan kepadanya jenis kesalahan yang dia disiasat sejak tahun lalu, kecuali dimaklumkan ia adalah mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

SPRM sebelum ini menjelaskan bahawa siasatan terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, dan menurut SPRM kertas siasatan terhadap bekas menteri kewangan itu telah dibuka pada Februari tahun lepas.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut SPRM, siasatan ke atas Daim dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pada Dis tahun lepas, Menara Ilham di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan Daim dilaporkan disita SPRM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS