Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian rakan ketika bersukan beri kesedaran ilmu kecemasan

Awal bulan ini, Mohd Azlan Mohamad, 47, kehilangan rakan baiknya ketika sedang bermain bola sepak di Kuantan, Pahang.

Dia yang ketika itu tidak mengetahui cara memberi pertolongan cemas mengakui terkilan kerana gagal memberikan bantuan awal hingga mengakibatkan rakannya itu meninggal dunia.

Mohd Azlan kemudian mencari tempat yang ada menawarkan latihan berkaitan bantuan awal kecemasan sebagai persediaan jika berdepan situasi serupa pada masa akan datang.

Hari ini, dia mengikuti Bengkel Jantung Terhenti anjuran Persatuan Muay Thai Daerah Kuantan (PMDK) dan Klinik Kesihatan Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Ismec) di Indera Mahkota, dekat Kuantan, Pahang.

Bengkel itu dikendalikan pegawai perubatan dari UIAM Kuantan, Dr Mohd Afiq Hassan.

Mohd Azlan ketika ditemui selepas bengkel itu mengakui penganjuran bengkel berkenaan sangat memberi manfaat kepadanya.

Mohd Azlan Mohamad

"Saya menyertai dalam bengkel ini kerana perkara seperti itu pernah berlaku di depan mata.

"Awal bulan ini, kami ada buat perlawanan persahabatan dan seorang pemain veteran yang juga kawan baik saya tiba-tiba rebah.

"Dengan tidak ada pengalaman berdepan situasi seperti itu, saya macam sedih sebab tak dapat nak bantu dia.

"Jadi, alhamdulillah dengan adanya bengkel seperti ini bolehlah membantu orang lain selepas ini," katanya.

Dr Mohd Afiq Hassan

Dalam pada itu, Mohd Afiq berkata, hampir setiap bulan sekurang-kurangnya satu kes kematian akibat masalah jantung dilaporkan, membabitkan mereka yang aktif dalam aktiviti sukan dan aktiviti kecergasan lain.

Katanya, statistik dikeluarkan Persekutuan Bola sepak Dunia (Fifa) itu hanya merujuk kepada kes yang dilaporkan kepada badan induk pengendali bola sepak antarabangsa itu.

"Mungkin kesnya lebih banyak, cuma tidak dilaporkan.

"Tujuan utama kami anjur bengkel ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai CPR (resusitasi kardio pulmonari) dalam kalangan orang awam, terutamanya mereka yang aktif bersukan.

"Masalah orang aktif ini ada risiko sebab kadang ada penyakit jantung keturunan yang dia sendiri tak tahu dan tidak ada simptom.

"Kita kena sentiasa bersedia sebab benda ini boleh jadi kepada kawan dan ahli keluarga kita," katanya.

Ahmad Azwan Abdullah

Sementara itu, Presiden PMDK, Ahmad Azwan Abdullah, berkata penganjuran bengkel itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ahli persatuan dan mereka yang aktif dalam pelbagai jenis sukan di Kuantan.

Katanya, setiap mereka yang terbabit dalam aktiviti sukan lasak seperti muay thai perlu memiliki pengetahuan berkaitan bantuan kecemasan awal bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sejak tahun 2020, masalah jantung terhenti ketika bersukan dan dalam kalangan mereka yang menjalani gaya hidup sihat dilaporkan semakin meningkat.

Mengikut statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 17 peratus daripada 18,515 kematian dilaporkan adalah berpunca daripada penyakit berkaitan jantung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS