Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir cuba alih perhatian umum dari kes Daim, kata PKR

Dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara disifatkan sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap siasatan rasuah melibatkan Daim Zainuddin.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajah, berkata ada kemungkinan bekas perdana menteri itu bimbang jika dia menjadi orang yang seterusnya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita semua tahu, Dr Mahathir sering membuat kenyataan-kenyataan kontroversi untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu melibatkan dia.

"Kali ini, dia buat perkara yang sama untuk mengalihkan siasatan rasuah terhadap Daim, sebab dia takut akan dipanggil selepas ini," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, Daim dan keluarganya kini disiasat SPRM ekoran pendedahan Kertas Pandora. Menurut SPRM kertas siasatan terhadap tokoh yang dekat dengan Mahathir itu dibuka pada Feb tahun lalu.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan masing-masing menggunakan perkhidmatan institusi kewangan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Terdapat desas-desus bahawa Mahathir kemungkinan akan dipanggil untuk siasatan pada masa akan datang.

Terdahulu, bercakap dalam temu bual eksklusif dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

"Orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, mereka bercakap Tamil," katanya.

Buat kenyataan bercanggah

Mahathir kemudian berkata bahawa "masalah" dia ialah apabila "pendatang" (merujuk kepada kaum India dan Cina) menganggap Malaysia sebagai negara sendiri tapi pada masa sama terus mengamalkan budaya dan adat mereka sendiri.

Apabila hos program itu bertanya sama ada Mahathir menjangkakan orang bukan Melayu "berasimilasi sepenuhnya" menjadi orang Melayu atau tidak, Mahathir menjawab dengan tegas: "Ya... mereka sepatutnya begitu; dahulu kami ada orang India, Pakistan, Arab, dan Afrika, yang kini Melayu, dalam maksud mereka berbahasa Melayu di rumah, budaya mereka adalah Melayu."

Sathia Prakash berkata, kenyataan Mahathir itu jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas melindungi hak semua kaum yang menjadi rakyat negara ini.

"Ketika menjadi perdana menteri bagi kali kedua, Mahathir pernah berkata bahawa orang Melayu yang bercakap dalam bahasa Inggeris bukan bermaksud dia tak cukup Melayu.

"Tapi, dalam temu bual baru-baru ini, dia berkata masyarakat India perlu menerima pakai bahasa dan budaya Melayu sepenuhnya untuk dianggap sebagai anak Malaysia.

"Apa maksud dia? Dulu dia kata orang Melayu perlu kuasai bahasa Inggeris masih dianggap anak Malaysia, tapi masyarakat India berbahasa Tamil dianggap tak setia kepada Malaysia. Jelas dia bercanggah," katanya.

Sathia Prakash juga mencabar pemimpin PN menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan yang dibuat Mahathir itu.

"Dalam temu bual itu Mahathir juga menolak konsep kerajaan Madani bahawa Malaysia kekal sebagai negara Islam dan pada masa yang sama melindungi hak semua kaum.

"Ketika hos secara spesifik bertanya mengenai konsep Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu, Mahathir terus menolak dengan berkata Malaysia hanya untuk orang Melayu sahaja.

"Itulah orang yang dilantik sebagai penasihat kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan PN. Jadi, saya nak tanya apakah pendirian PN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS