Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah: SOP lebih ketat di jabatan patologi hospital Johor

Jabatan patologi di sebuah hospital di Johor telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baru yang lebih ketat bagi mengelakkan berlaku rasuah membabitkan kakitangannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata dia percaya kesemua kakitangan di jabatan itu dapat mematuhi SOP baru tersebut.

Katanya hanya segelintir kakitangan termasuk ahli patologi dan pembantu makmal yang sedang disiasat berhubung kes itu dan mereka sudah dipindahkan tempat kerja.

“Jika mereka yang disiasat ini ada buat salah, biarlah mereka berdepan dengan hukuman undang-undang.

“Namun sekiranya tidak bersalah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mempercepatkan siasatan tersebut supaya mereka yang tidak bersalah dapat membersihkan nama mereka dan jabatan patologi terbabit,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Kota Iskandar baru-baru ini.

Ling berkata kerajaan negeri memandang serius kes tersebut dan Jabatan Kesihatan Johor serta hospital terlibat sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan siasatan.

SPRM sebelum ini menahan seorang pegawai patologi sebuah hospital yang disyaki merasuah ahli patologi di sebuah hospital di negeri ini berhubung keputusan ujian saringan air kencing.

Penahanan tersebut dibuat susulan wujud persoalan berhubung ratusan kes dadah yang mungkin dilepaskan dan perlu disiasat semula ekoran perbuatan individu terbabit.

Beberapa media melaporkan hasil siasatan SPRM mendapati 33 pegawai dan penolong pegawai penyiasat di jabatan siasatan jenayah narkotik seluruh daerah di Johor dipercayai terbabit bersama ahli patologi itu sejak 2018.

Pada 10 Jan lepas, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap sebahagian daripada 33 pegawai dan anggotanya terlibat.

Kamarul Zaman dipetik sebagai berkata mereka yang terlibat telah dipindahkan tempat kerja supaya tidak lagi melakukan penugasan yang sama sehingga siasatan selesai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS