Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serang rumah Ngeh: Polis tangkap lelaki 30-an di Shah Alam
Diterbitkan:  Jan 12, 2024 5:13 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Polis menangkap seorang lelaki 30-an susulan insiden serangan bom botol terhadap rumah anggota parlimen Beruas Ngeh Koo Ham.

Tangkapan dibuat pada jam empat pagi tadi di Shah Alam, Selangor.

“Tangkapan berumur dalam lingkungan 30-an dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau sebelum ini,” kata Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan.

Mohd Yusri Hassan

Serangan awal pagi semalam itu merosakkan tiga buah kereta Ngeh, termasuk sebuah Mercedes Benz dan bumbung anjung rumahnya.

Ngeh yang ketika itu sedang tidur terselamat selepas dikejutkan oleh orang yang lalu lalang yang membunyikan loceng rumahnya.

Pemimpin DAP itu memaafkan penyerangnya tetapi menuding jari kepada Perikatan Nasional (PN) yang didakwa mengapi-apikan orang membencinya.

Ngeh sebelum ini dilanda kontroversi selepas menyarakan pakar bukan Islam dilantik dalam jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.

Setelah bantahan meluas, dia bagaimanapun memohon maaf dan menarik balik cadangan itu.

Menjelaskan tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal Islam, Ngeh berkata dia cuma mahu memastikan semua pandangan diambil kira kerana menjangkakan proses itu melibatkan pindaan perlembagaan.

Ngeh Koo Ham

Dia juga katanya tidak tahu bahawa jawatankuasa khas tersebut telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, dalam kenyataan petang ini, Yusri berkata individu itu kini direman lima hari untuk siasatan lanjut.

"Sehubungan dengan itu, kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sehingga 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda," kata Hassan.

Yusri juga mendedahkan dua buah telefon bimbit turut dirampas.

Pihak berkuasa juga meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan insiden itu kepada pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS