Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan anggap SPRM sasar orang tertentu, kata Anwar
Diterbitkan:  Jan 11, 2024 5:47 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata terpulang kepada SPRM jika akan ada lebih banyak tangkapan berkaitan rasuah melibatkan ‘jerung-jerung’ besar.

Namun, katanya SPRM bukannya menyasarkan mana-mana bekas pemimpin tetapi hanya menjalankan amanah membanteras rasuah tanpa mengira status dan kedudukan.

“Itu urusan SPRM, saya tidak mahu orang anggap ini perkara yang kecil, baru atau lama memang tak boleh. 

“Orang kalau dia tak salah, tak perlu rasa bimbang kerana siasatan dibuat dengan teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya ada bukti yang kukuh. 

“Tetapi janganlah sesetengah orang anggap ini soal pihak tertentu dan sebagainya, kerana ini akan beri gambaran seolah-olah ada orang atau jerung-jerung besar terlepas.

“Saya tidak mahu mula memerangi rasuah dengan menekan yang di bawah,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat Iskandar Puteri, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat nama-nama besar atau 'jerung' yang bakal disiasat atas kesalahan rasuah selepas ini.

Sebelum ini SPRM menegaskan siasatan terhadap bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin dan keluargannya dijalankan sejak Feb lalu susulan maklumat daripada Kertas Pandora yang didedahkan.

Semalam, SPRM dilaporkan mengesahkan telah merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung dana RM700 juta bagi tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS