Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang tiada kekuatan bawa usul undi tidak percaya - PM
Diterbitkan:  Jan 11, 2024 5:19 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Pembangkang tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan usaha menumbangkan kerajaan pusat sedia ada dengan memulakan undi tidak percaya di Parlimen, kata Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, kata perdana menteri, mereka hanya terus memainkan propaganda untuk menipu penyokong mereka.

Beliau berkata ini terbukti kerana sehingga sekarang, pembangkang tidak pernah lagi membawa usul seumpama itu sepanjang setahun Kerajaan Madani.

“….Dah lama dah dia (pembangkang) tidak  bawa (usul tidak percaya), setahun dah. Hari-hari kita tunggu, tiada.

“Jadi kita tidak fikir bab tu, saya tidak fikir dia ada kekuatan untuk bawa ini (undi tidak percaya).

“Itu tidak lain hanyalah propaganda untuk menipu penyokong-penyokong dia supaya jangan hilang semangat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat Iskandar Puteri hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada pembangkang berani mengambil langkah berkenaan, susulan peringatan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, supaya pembangkang membuat usul itu sekiranya serius mahu menguji keabsahan Perdana Menteri.

Hassan Karim

Semalam, Hassan ‘mengingatkan’ supaya pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap ahli Parlimen Tambun tersebut, sekiranya mahu menguji keabsahan perdana menteri sebelum mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat, yang mula bersidang pada 26 Feb depan.

“Ya, itu pandangan yang sesuailah (pandangan Hassan). Kalau tidak, hari-hari orang asyik cari ini (akuan bersumpah), Langkah Dubailah atau mana-mana.

“Sekarang dah terbukti bahawa itu semua hanya ‘politik cemas’ dalam kalangan mereka yang kehilangan modal.

“Jadi, saya nasihat jemaah menteri dan pimpinan kerajaan umumnya, supaya menumpukan perhatian untuk membangunkan negara. Tahun 2024 fokus kita ialah pembangunan dan keutuhan ekonomi negara,” kata Anwar.

Spekulasi mengenai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan timbul selepas Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) Ismail Yusop mendedahkan tentang Langkah Dubai.

Katanya, rancangan tersebut timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Susulan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan rancangan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS