Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Tiada arahan tidak akses data telefon bimbit Ebit Lew dalam pemacu kilat
Diterbitkan:  Jan 11, 2024 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Seorang saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di Tenom bahawa beliau tiada menerima arahan untuk tidak mengakses data dalam pemacu kilat diberikan syarikat LGMS Berhad (LGMS).

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Insp Yip Chang Ching, 43, berkata sedemikian ketika pemeriksaan semula Peguam Ram Singh hari ini berkenaan pemacu kilat mengandungi data telefon bimbit Lew diberikan LGMS kepada PDRM.

Saksi pendakwaan kelapan itu juga tidak bersetuju kepada soalan Ram Singh yang mewakili Ebit Lew bahawa saksi telah melampaui had untuk melihat data berkenaan.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani akan disambung dari 13 hingga 15 Feb ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS