Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak bekas menteri PKR sah dilantik ahli lembaga LPK
Diterbitkan:  Jan 11, 2024 1:31 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Naib Ketua Wanita PKR Sangetha Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook atas pelantikannya sebagai ahli lembaga Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Ia selepas pelantikannya dikritik kerana jawatan itu merupakan satu lagi pelantikan politik oleh kerajaan perpaduan, dan Sangetha sebelum ini menjawab pertanyaan media dengan mengatakan dia masih belum menerima surat pelantikan rasmi.

"Pelantikan dalam jemaah lembaga pelabuhan ini adalah suatu tanggungjawab yang saya terima dengan penuh rasa tanggungjawab dan melihatnya sebagai satu peluang untuk terus mengangkat, memperkasa dan memperkukuh agenda serta komitmen kerajaan Madani,"

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan khasnya buat (ketua wanita PKR) Fahdlina Sidek yang memperkukuh pemberdayaan wanita. Saya melihat pelatinkan ini merupakan suatu bentuk pengikhtirafan ke atas usaha tersebut," katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, berita berkaitan pelantikan Sangetha sebagai anggota lembaga pengarah LPK mengundang bantahan pengkritik.

Ia susulan ikrar kerajaan untuk mengurangkan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Tambahan lagi, Sangetha sendiri pada Oktober 2022 menyelar lantikan politik kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin yang didakwanya bagi membeli sokongan.

Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif berkata pelantikan Sangetha bukan langkah terpencil.

Katanya, sejak Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri pada November 2022, sebanyak 19 orang anggota parlimen dan 42 ahli politik dilaporkan mendapat 61 tempat dalam lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan.

Untuk rekod Sangetha merupakan anak kepada Dr Xavier Jayakumar, bekas menteri PKR yang meletak jawatan daripada parti itu pada Mac 2021 dan menukar sokongannya kepada kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin Yassin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS