Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Debat calon presiden tanda demokrasi matang di Indonesia

Penganjuran siri debat menjelang pilihan raya presiden Indonesia pada bulan depan adalah tanda kematangan demokrasi di republik itu, menurut Bersih.

Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz juga memuji Komisi Pemilihan Umum Indonesia yang telah menganjurkan empat debat siaran langsung.

"Ia menggambarkan kematangan amalan demokrasi apabila isu rakyat dan dasar menjadi sandaran untuk memilih pemimpin.

"Ia juga sau ruang untuk rakyat mendalami informasi berkenaan pilihan dasar-dasar yang baik untuk negara," kata Faisal kepada Malaysiakini semalam.

Faisal yang juga bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata debat berasaskan dasar turut menyumbang kepada penolakan politik identiti berdasarkan kaum dan agama di Indonesia - dua perkara yang terus menguasai wacana politik di Malaysia.

Rakyat Indonesia akan membuat pilihan mereka pada 14 Februari ini. Mereka akan memilih wakil di Parlimen serta presiden bagi menggantikan Presiden Joko Widodo dan Wakil Presiden Maaruf Amin.

Dari kiri: Anies Baswedan, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo

Tiga pasangan yang bertanding adalah Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming dan Ganjar Pranowo-Mahfud Md.

Dua pusingan debat diadakan melibatkan ketiga-tiga calon presiden, disusuli dengan regu mereka. Ia menjadi platform untuk mereka menyatakan rancangan dalam pelbagai aspek termasuk tadbir urus, hak asasi, undang-undang, antirasuah, pengukuhan demokrasi, ekonomi, pelaburan, pertahanan dan dasar luar.

Dalam pusingan akhir yang diadakan Ahad lalu, Anies dan Ganjar menyasarkan Prabowo, yang juga menteri pertahanan, berhubung belanjawan perolehannya, terutama berkenaan laporan rancangan untuk membeli kelengkapan pertahanan terpakai, bukannya yang baru.

Mengulas lanjut, Faisal berkata debat berpotensi meningkatkan kadar keluar mengundi, dengan membangkitkan sejumlah tinjauan bebas yang menunjukkan sebanyak 40 peratus daripada 204 juta rakyat yang layak mengundi masih belum menetapkan pilihan mereka.

"Ini kerana debat adalah sebahagian daripada kempen terbuka yang mana semua pihak bebas menyampaikan manifesto serta saling mengkritik antara satu sama lain," katanya.

Tinjauan turut menyatakan ada lebih 25 peratus pengundi atas pagar, dengan sokongan mereka dipengaruhi perubahan kerjasama politik sejak pilihan raya presiden pada 2019.

Gibran dan bapanya, Jokowi

Misalnya Prabowo yang bertanding melawan Jokowi pada 2014 dan 2019 namun kini bekerjasama dengan Gibran yang merupakan anak sulung Jokowi.

Pasangan calon perlu mendapat 51 peratus undi untuk menang. Jika ia tidak dicapai, dua pasangan dengan peratus undi tertinggi akan bersemuka dalam pusingan kedua yang dijadual diadakan pada akhir Jun ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, bekas menteri agama Dr Zulkifli Mohamad berkongsi pemerhatiannya terhadap debat dan kempen yang sedang berlangsung.

Dr Zulkifli Mohamad

"Sedikit kesilapan oleh mana-mana calon presiden boleh menjadi penentu natijah pilihan raya.

"Walaupun jumlah pengundi atas pagar tidaklah terlalu tinggi, kedudukan ketiga-tiga calon agak seimbang dalam beberapa culaan awal, menyebabkan pengundi atas pagar menjadi faktor amat penting bagi kejayaan mana-mana calon," katanya.

Dia juga menggariskan lima kriteria yang menurutnya perlu digunakan untuk menilai calon - kemampuan komunikasi, pengetahuan dan kemahiran menganalisis masalah, integriti dan kredibiliti, keterlibatan dengan masyarakat dan pengalaman.

"Saya lihat ada persaingan sengit dalam kalangan rakyat Indonesia antara Ganjar atau Prabowo, berbanding Anies.

"Di atas kertas, mungkin Ganjar ada kelebihan berbanding Prabowo dan Anies. Namun dalam politik segalanya mungkin dan tidak mustahil," katanya sambil menambah secara peribadi dia menyokong Anies, yang merupakan bekas gabenor Jakarta yang disokong oleh empat parti politik.

Ganjar-Mahfud mendapat sokongan Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDIP), di bawah pimpinan bekas presiden Megawati Soekarnoputri, serta empat lagi parti yang membentuk pentadbiran sekarang.

Sementara itu, Prabowo-Gibran disokong sembilan parti, termasuk Parti Solidariti yang berasaskan golongan muda. Kepimpinan parti itu diambil alih anak bongsu Jokowi, Kaesang Pangarep pada tahun lalu.

Melihat kembali ke Malaysia, Faisal berkata Bersih telah memulakan budaya debat pilihan raya, serta melaksanakan proses itu dalam pemilihan kepimpinannya sendiri yang menyaksikan dia menggantikan bekas presiden, Thomas Fann.

Katanya lagi, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh mengguna pakai model tersebut sebagai salah satu unsur reformasi pilihan raya dan ia boleh dimulakan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tahun depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS