Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
21 warga Bangladesh mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan

Jabatan Imigresen berjaya menyelamatkan 21 lelaki warga Bangladesh dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi di Klang, Selangor, dua hari lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini berkata kesemua mereka yang berumur 20 hingga 40 tahun diselamatkan dalam operasi sekitar pukul 3.30 petang oleh pasukan serbuan dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sebuah premis rumah kedai, hasil maklumat awam dan risikan.

Ruslin berkata pasukan operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Kesemua individu berkenaan dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh majikan yang menguruskan kemasukannya ke dalam negara. Hasil siasatan awal mendapati mereka juga diabaikan tanpa sebarang pekerjaan selama kira-kira enam bulan,” katanya.

Katanya semakan juga mendapati ada antara mereka memperoleh Pas Lawatan Kerja Sementara yang sah dan bekerja, namun tidak diberikan upah oleh majikan, selain pasport mereka turut dipegang dan disimpan oleh majikan.

Ruslin berkata pihaknya juga telah mengenal pasti syarikat serta majikan yang terlibat dan telah memulakan siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670).

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS