Najib Razak sendiri tidak tahu jika Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat pada bulan ini untuk membincangkan permohonan pengampunannya, kata peguam bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah.
Mengulas laporan Channel News Asia hari ini yang mendakwa lembaga itu akan bermesyuarat bulan ini, Muhammad Shafee mempersoalkan bagaimana organisasi media boleh mendapat maklumat itu memandangkan mesyuarat seperti itu dibuat dengan penuh kerahsiaan.
"Kami sebagai peguam Najib tidak pernah dimaklumkan (seperti mana kes lain) berkenaan langkah yang diambil Lembaga Pengampunan (jika ada) berkaitan permohonan pengampunan anak guam kami.
"Maka kami jadi tergamam bagaimana CNA telah membuat spekulasi dengan berita tidak berasas ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan merangkumi Yang di-Pertuan Agong, menteri wilayah persekutuan, peguam negara dan tiga lagi anggota yang dilantik Agong.
Muhammad Shafee menjelaskan tiga anggota tersebut adalah rahsia dan tarikh mesyuaratnya tidak didedahkan.
"Maka jelas, jika Lembaga Pengampunan bertemu untuk mempertimbang permohonan Najib untuk pengampunannya, ia akan dijalankan secara rahsia kerana ia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya lagi.
Dia berkata CNA menggunakan sumber yang tidak dinamakan untuk menerbitkan laporan "sensasi".
Dia juga memperingatkan media bahawa membuat tebakan berkenaan mesyuarat Lembaga Pengarah adalah tindakan tidak hormat.
Dia berkata Lembaga perlu berjalan secara rahsia agar dapat menasihati Agong - dengan kuasa memberi pengampunan secara mutlak menurut Perkara 42 Lembaga Persekutuan - dengan berkesan.
Pelanggaran kerahsiaan ini boleh dianggap melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972, katanya lagi.
Terdahulu hari ini, CNA melaporkan lembaga itu mungkin membuat keputusan berkenaan permohonan Najib pada bulan ini.
Menurut laporan itu, permohonan Najib akan dibincangkan dalam satu mesyuarat yang dijadual diadakan pada minggu ketiga Januari.
Laporan itu turut memetik seorang individu yang dekat dengan Najib yang menyatakan ada "tanda positif" berkenaan permohonan itu jika ia dibincangkan dalam mesyuarat bulan ini.
Permohonan itu berkaitan sabitan bersalah terhadap Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.