Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek rintis uji sistem subsidi diesel, fleet card bermula bulan depan

Projek rintis bagi menguji sistem MySubsidi Diesel Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan sistem fleet card syarikat minyak menerusi enam syarikat pengangkutan barangan terpilih akan dilaksana berkuat kuasa 1 Feb ini.

Menterinya Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan projek rintis itu adalah bagi perluasan pemberian kuota diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat (barangan) melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Katanya enam syarikat tersebut Perceptive Logistic Sdn Bhd, Multimodal Freight Sdn Bhd, Mun Chuen Transport Sdn Bhd, Tan Swee Hee Sdn Bhd, Sim Yew Enterprise Sdn Bhd dan Rantau Panjang Haulage Sdn Bhd yang dipilih susulan kuota skid tank mereka bakal luput pada bulan ini.

“Sesi libat urus telah dilaksanakan untuk memberi pendedahan kepada syarikat perintis dan syarikat minyak tentang panduan memohon kuota dan pelaporan menggunakan Sistem MySubsidi Diesel dan sistem fleet card,” katanya ketika sidang media di Klang.

Armizan terdahulu melakukan lawatan kerja bagi meninjau persiapan Syarikat Perceptive Logistics untuk pelaksanaan projek rintis itu di Pelabuhan Klang, hari ini.

Dia Beliau menjelaskan SKDS ketika ini diberikan melalui dua saluran iaitu skid tank yang melibatkan permohonan dan pemprosesan secara manual dan fleet card yang menggunakan sistem MySubsidi Diesel KPDN.

“Ketika ini, hanya sektor pengangkutan darat awam menggunakan saluran fleet card manakala sektor pengangkutan barangan darat, bot penumpang sungai serta feri dan bot ke pulau utama masih menggunakan saluran skid tank,” katanya.

Kata Armizan penggunaan fleet card mampu mengurangkan jenayah penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi memandangkan sistem itu akan dipantau oleh KPDN dan syarikat minyak secara digital.

Skid tank pula katanya hanya melibatkan pelaporan oleh syarikat terbabit.

"KPDN akan terus memantau pelaksanaan projek rintis ini dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS