Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak paket bersubsidi secara runcit setakat ini.
Armizan berkata kawalan hanya di peringkat pasar raya dengan had tiga paket untuk setiap pembeli.
"Setakat ini, di peringkat runcit tiada larangan (pembelian minyak peket) bagi warga asing. Cuma di pasar raya kita kawal dengan had pembelian tiga paket (kepada semua)," katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan pelaksanaan secara rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 oleh pihak syarikat di bawah sektor pangangkutan darat (barangan) di Pelabuhan Klang, Selangor, hari ini.
Pada masa sama Armizan memaklumkan memang ada cadangan dikemukakan berkenaan perkara itu, namun ia masih di peringkat kajian termasuk dari segi pelaksanaan di kalangan peruncit.
"Bukan saja kerajaan perlu keluarkan kos, peruncit kecil (perlu) ada sistem. Bagi kita masa kerana dapatan audit cukup penting dengan beberapa negeri telah selesai seperti Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Johor," katanya.
Armizan berkata demikian ketika mengulas jika larangan akan dikenakan kepada warga asing untuk membeli minyak masak bersubsidi susulan tularnya video berkenaan perkara itu.
Selain minyak masak, rakaman warga negara jiran mengisi petrol subsidi ketika di Malaysia juga sering ditularkan di media sosial dan mengundang kritikan ramai.
Mengulas lanjut, Armizan berkata kaedah jangka panjang juga sedang dikaji bagi memastikan minyak masak bersubsidi hanya dinikmati warga Malaysia.
"Anda bercakap mengenai warga asing, di Malaysia ada bermacam jenis warga asing yang boleh dikenal pasti secara fizikal atau tidak.
"Kita tidak mahu kaedah yang terpencil, sebaliknya memikirkan pelaksanaan secara keseluruhan," katanya lagi.
"Pada masa sama kita tengok keperluan semakin bertambah dan kita sudah ada (kuota) 60,000 metrik tan minyak masak, namun masih ada (kekurangan di pasaran) misalnya di Labuan.
"(Sebab) itu orang mula ambil gambar dan video tunjuk warga asing nikmati (minyak masak subsidi)," katanya.
Berhubung audit yang dibuat, ahli parlimen Papar itu berkata ia berjalan sejak Oktober lalu hingga Mac ini, melibatkan kilang penapisan dan pembungkusan bagi mengenal pasti sama ada berlaku penyelewengan atau tidak.
Dia berkata tindakan juga telah diambil kepada pengilang yang didapati melanggar peraturan, antaranya dengan membatalkan kuota yang diberikan.
Sementara itu, berkenaan kenaikan harga bawang dari India, Armizan berkata ia di luar kawalan memandangkan negara itu telah menyekat import bawang sehingga 31 Mac ini.
Menurutnya, India mengambil langkah itu kerana ingin memastikan bekalan mencukupi menjelang pilihan raya di negara itu.
“Itu dasar kerajaan negara luar yang di luar kawalan kita. Saya sahkan sendiri (kenaikan harga bawang India) berdasarkan laporan pemantauan dan di peringkat KPDN kita bertanggungjawab dalam penguatkuasaan dan pemantauan," katanya lagi.