Paling Popular
Terkini

Gabungan yang mendakwa mewakili 48 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut kepimpinan DAP memecat Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

Pada sidang media selepas penyerahan memorandum di luar ibu pejabat DAP di Pudu, Kuala Lumpur, hari ini, pengerusinya, Aminuddin Yahaya juga mencadangkan agar Umno berfikir dua kali mengenai kerjasama dengan parti itu.

“Disebabkan itu, dalam memorandum yang kita serahkan hari ini, kita minta DAP mengambil tindakan tatatertib terhadap Ngeh termasuk kemungkinan dipecat daripada parti kerana dialah yang merosakkan perpaduan dalam negara ini," katanya.

Ngeh Koo Ham

Sebelum ini Ngeh mencadangkan agar pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Dia kemudiannya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya, berkata ini susulan penjelasan bahawa jawatankuasa khas itu dibentuk oleh Majlis Hal Ehwal Islam Negara yang diketuai oleh sultan Selangor. 

Sementara itu, Aminuddin berkata Umno perlu memikirkan semula secara serius peranannya dalam kerajaan perpaduan.

“Saya cadangkan Umno memikirkan secara serius tentang keberadaannya dalam kerajaan perpaduan kerana sikap DAP ini yang kita tahu setiap hari, setiap malam, asyik nak campur tangan agama Islam,” katanya.

Wakil-wakil gabungan NGO itu turut melahirkan rasa kecewa kerana mereka hanya disambut di luar ibu pejabat DAP oleh seorang kerani dan bukannya kepimpinan parti.

Polis hanya membenarkan lima orang peserta perhimpunan bergerak ke pejabat DAP manakala diminta menunggu di tempat letak kereta.

Sementara itu. Presiden Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia Izzat Johari, berkata dia merasakan bahawa ia adalah penghinaan kepada gabungan itu.

“Dari sini nampaknya agak mengecewakan kerana nampaknya mereka (lima wakil) berada di luar pintu depan. Bukan pintu depan pejabat DAP, tetapi pintu depan hotel (berdekatan).

“Ia kelihatan seperti satu penghinaan besar. Kami mahu menghantar memorandum dengan baik.

"Kami sebelum ini sudah menghantar surat kepada (Setiausaha Agung DAP Anthony) Loke untuk memberitahu dia bahawa kami hantar memorandum hari ini, bukannya kami mahu masuk dan serbu mereka, tidak," kata Izzat.

Minggu lalu, bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan keikhlasan permohonan maaf Ngeh, menyifatkannya sebagai "taktik lama" DAP, yang berulang kali berlaku dan menjadi kebiasaan. 

Susulan itu, Loke berkata PN tidak akan membiarkan isu kesilapan Ngeh kerana ia mereka boleh memainkan isu 3R (kaum, agama dan institusi raja).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS