Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar mahu GLC bantu pekerja berpendapatan rendah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan rancangan untuk membantu pekerja mereka yang berpendapatan rendah.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata rancangan itu perlu dibentangkan kepadanya dalam masa sebulan.

Dia berkata rancangan itu perlu merangkumi soal pelaburan, isu bumiputera serta pendidikan dan perumahan pekerja.

"Saya tanya (tentang) masalah mereka yang tak selesai, umpamanya keluarga miskin tegar di bawah Tenaga (Nasional Berhad) atau Telekom (Malaysia Berhad).

"Adakah ini masalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah atau masalah syarikat? Tentunya masalah syarikat," katanya semasa perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Dia berkata tidak wajar untuk GLC mencatatkan keuntungan yang tinggi tetapi meletakkan tanggungjawab berkenaan pekerjanya yang bergelut kepada kerajaan.

"Kalau ada 15,000 pekerja, 5,000 orang tak ada rumah langsung. Tak mungkinkah untuk kita fikir rencana untuk bina rumah kepada pekerja sendiri?" soal Anwar.

Dia turut memberi contoh pekerja GLC yang tidak mampu menyediakan yuran universiti untuk anak-anak mereka sehingga terpaksa mengambil pinjaman pengajian.

"Saya mahu ada perancangan yang jelas," katanya lagi.

Pada masa sama, Anwar meminta GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengurangkan pelaburan di luar negara dan meningkatkan pelaburan domestik.

"Saya beri beberapa arahan untuk harus ada penekanan berkenaan pengurangan pelaburan di luar ngeara kerana jika alasan (pelaburan domestik) tidak menarik, maka apa kemunasabahan kita mengadakan kempen menarik pelabur asing ke Malaysia?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS