Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pelajar UMS belum mandi' -Anwar minta laporan penuh

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia telah meminta laporan berhubung gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Anwar yang juga menteri kewangan berkata dia tidak ingin menghukum mana-mana pihak sehingga menerima laporan berkenaan masalah itu.

"Tahun lalu semasa saya melawat ke sana, saya luluskan (peruntukan) RM3 juta.

"Saya tidak pasti (tapi) mungkin ambil masa untuk pelaksanaannya.

"Tapi saya nak laporan, mungkin daripada ketua setiausaha kementerian berkenaan, untuk bantu bertanya apa yang berlaku sejak kelulusan (diberikan) dan tindakan yang diambil oleh kementerian dan universiti dalam pelaksanaan," katanya semasa perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir dalam kunjungan ke UMS disambut dengan protes pelajar yang menyanyikan "kami belum mandi".

Dia kemudian memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menangani masalah itu, tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diumumkan Anwar pada Mei lalu untuk tujuan yang sama.

Anwar berkata isu tersebut mungkin dilihat kecil kebanyakan pihak namun perlu dianggap sebagai membimbangkan.

"Jadi dalam hal demikian, saya bimbang.

"Antara perancang, pengurus-pengurus besar dan pelaksanaan di (peringkat) bawah, ada kesenjangan yang nyata," katanya lagi.

Menurut Bernama, peruntukan tambahan yang diumumkan Zambry akan digunakan untuk memasang pam air dan tenaga pakar untuk mencari sumber air alternatif bagi penyelesaian jangka panjang.

Buat masa sekarang, jabatan air negeri menghantar tangki air ke kampus UMS secara berkala namun ia masih tidak dapat memenuhi keperluan pelajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS