Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerajaan teroka semua pendekatan fiskal sebelum pertimbang GST'

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan meneroka semua pendekatan lain yang dapat dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengembalikan sistem cukai barangan dan perkhidmatan.

Dalam episod pertama podcastnya, Rafizi ditanya berkenaan kenyataannya pada September tahun lalu bahawa kerajaan terbuka untuk memperkenalkan semula GST sebagai sebahagian daripada strategi untuk asas hasil yang lebih luas untuk mencapai kemampanan fiskal.

"Pendirian kerajaan adalah kita akan cuba yang terbaik agar beban cukai tidak dikenakan kepada setiap rakyat.

"Jika kita boleh cukai golongan kaya dulu, sama ada melalui cukai barangan mewah, cukai keuntungan modal, rasionalisasi subsidi, kita akan buat itu dulu.

"Kerana itu juga akan menyumbang kepada kekuatan fiskal kita," katanya ketika menjawab soalan hos jemputan Nazri Hamdan, pempengaruh yang dikenali menerusi perbincangan berkenaan isu semasa, terutama berkaitan ekonomi dan perniagaan, di TikTok.

Moderator Najib Bakar turut bertanya jika ada pertimbangan politik di sebalik sebarang keputusan berkenaan perkara itu, serta protes yang dibuat PH ketika menjadi pembangkang sebelum 2018.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata kerajaan hari ini tiada kecenderungan segera dalam soal percukaian dan sebarang keputusan akan mengambil kira pelbagai implikasi kewangan terhadap rakyat dan ekonomi.

Rafizi berkata, GST bukanlah "penawar mudah" dan kerajaan perlu memperbaiki pelbagai perkara dengan berdasarkan beberapa prinsip utama, antaranya untuk tidak memindahkan beban cukai kepada golongan miskin.

Dia berkata kenyataannya sebelum ini berkenaan keterbukaan kerajaan untuk mengembalikan semula GST terpakai di masa pelaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip asas kesaksamaan.

"Apabila tiba masanya, maka kita terbuka.

"Kita bukan anti-GST, tetapi kita ingin buat berdasarkan garis panduan, tanpa berlaku tidak adil kepada rakyat," katanya dalam episod selama dua jam yang turut menyentuh pelbagai topik lain, seperti pelaksanaan dasar gaji progresif dan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang baru dilancarkan.

Katanya lagi, pertimbangan berkaitan yang lain termasuk jika kerajaan sudah mengambil semua langkah yang wajar untuk menutup kelemahan dalam sistem dan mengelak ketirisan dalam perbelanjaan wang pembayar cukai.

Pada 2015, kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak di tengah bantahan ramai memperkenalkan GST untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Hasil yang diperolehi menerusi cukai itu pada tahun pertama pelaksanaannya dilaporkan sebanyak RM27.3 bilion.

Kerajaan PH di bawah Dr Mahathir Mohamad kemudian mengurangkan kadar enam peratus GST kepada kosong, disusuli dengan pengembalian SST.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS