Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Islam adalah agama paling muda yang tiba dan ditakdirkan menjadi agama rasmi orang Melayu sehingga ia dilembagakan dalam konteks Tanah Melayu-Malaysia pascakemerdekaan. Agama Islam datang dalam keadaan orang Melayu dan Alam Melayu sudah melalui pengalaman sejarah dan budaya agama lain yang panjang.

Misi utama agama Islam melalui wahyu adalah ketauhidan yang mutlak kepada Allah dan pembebasan yang mutlak daripada kesyirikan kepada-Nya. Oleh sebab itu Islam mempunyai epistemologinya yang tersendiri dalam hal berkaitan makhluk dan alam ghaib.

Islam tidak seperti ideologi materialis-emperikal-humanis-saintisme Barat yang sekular lagi ateis sehingga menolak wujudnya alam dan makhluk ghaib sekali gus Tuhan sebagai pencipta sekalian alam. Bahkan teras utama agama Islam iaitu enam rukun iman, semuanya tentang kepercayaan kepada yang ghaib.

Ini bermaksud Islam bukan agama yang antialam dan makhluk ghaib yang juga disebutkan sebagai metafizik oleh ahli falsafah, namun Islam datang memberikan petunjuk cara yang sebenar bagaimana manusia berinteraksi dengan alam dan makhluk ghaib dan ia diterangkan melalui wahyu iaitu al-Quran dan hadis.

Islam dan alam ghaib

Epistemologi Islam dalam berinteraksi dengan perkara-perkara ghaib adalah - hanya Allah yang mutlak mengetahui segala perkara yang ghaib dan Allah memberitahu sebahagian hal ghaib melalui wahyu-Nya kepada para nabi dan rasul yang terpilih.

Pada zaman awal Islam yang dikenali sebagai zaman salaf al-ummah (yang seterusnya menjadi satu manhaj beragama), sumber kepada segala yang ghaib hanyalah ‘wahyu’ yakni al-Quran dan al-Sunnah atau al-Hadis. Hadis pula mestilah hanya hadis yang sahih, hadis yang lemah apatah lagi palsu sudah semestinya tertolak awal-awal lagi bagi dijadikan sandaran dan sumber perkara ghaib. Ini kerana perkara ghaib termasuk dalam urusan akidah dan urusan akidah hanya boleh bersumberkan al-Quran dan hadis yang sahih.

Epistemologi ilmu menurut mazhab akidah Asyairah pula terbahagi kepada tiga sumber iaitu: 1. Akal yakni logik, 2. khabar sadiq yakni wahyu, dan 3. Pengalaman yakni melalui pancaindera. Namun apabila berinteraksi dengan urusan ghaib seperti urusan ilahiyyat (ketuhanan), nubuwwat (kenabian) dan sam‘iyyat (perkara ghaib yang hanya boleh diketahui melalui wahyu) mereka tetap berpada dengan nas-nas yang sahih sahaja.

Persoalannya, apakah sumber yang bani Melayu guna pakai dalam berinteraksi dengan hal-hal ghaib termasuk berkaitan dengan makhluk dan alam ghaib? Adakah mereka berpada dengan al-Quran dan hadis yang sahih atau mereka ada sumber lain seperti mimpi (hanya mimpi nabi dan rasul bertaraf wahyu)?

Atau mereka menyandarkannya kepada kepercayaan, dongeng, khabar angin, hikayat, cakap-cakap, mitos, legenda, cerita rakyat, riwayat tradisi, pusaka turun-temurun dan seumpamanya sebagai sumber kepercayaan kepada yang ghaib?

Hal yang paling asas ini perlu diselesaikan dengan tuntas.

Kedudukan isu Keturah/Qantura’

Justeru, sebelum kita membahaskan isu apapun yang ada sabitannya dengan sumber-sumber Islam sama ada kisah itu melibat orang ataupun peristiwa, soalan asasnya ialah apakah ia ada disebut dalam al-Quran dan hadis yang sahih?

Sudah terlalu banyak ulasan daripada sarjana bidang sejarah, tafsir dan hadis memberikan ulasan dan komentar berkenaan isu Keturah/Qantura’ ini. Tinggal lagi kita mahu atau tidak guna akal budi dan waras akal untuk menilai dengan membuat perbandingan terhadap premis-premis yang dibawa oleh pihak pendakwa dan pihak penyanggah.

Kalau di peringkat disiplin asas kajian dan penulisan akademik berkaitan dengan sumber pun sudah pincang, bagaimana mungkin untuk lanjutkan perbahasan ke peringkat seterusnya? Tidak hairanlah pihak pendakwa tidak berani menyahut cabaran berbahas secara terbuka. Ternyata mereka sendiri tidak yakin dengan dakwaan mereka tersebut.

Mengaitkan Keturah dengan Nabi Ibrahim AS yang merupakan abal anbiya’ (bapa segala nabi) memerlukan sandaran yang sahih daripada wahyu sebagaimana keberadaan Sarah dan Hajar di sisi Nabi Ibrahim.

Meskipun istilah bani Qantura’ itu wujud dalam hadis namun konteksnya berbeza sama sekali, begitu juga apabila ia disebutkan dalam kitab tafsir maka perlu diketahui matlamat pengarang tafsir tersebut memasukkan riwayat tersebut itu untuk apa.

Apa masalahnya?

Gelar doktor falsafah, profesor, tuan guru, maulana, habib dan apa sahaja tidak menjadikan kita boleh melanggar disiplin dan epistemologi ilmu khususnya berkaitan hal-hal ghaib. Tafsiran al-Quran yang menyelisihi disiplin yang sudah sedia kukuh terbina lebih seribu tahun oleh jumhur ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, begitu juga disiplin dalam periwayatan dan kefahaman terhadap hadis adalah utuh dan sudah diuji sepanjang zaman.

‘Kebabilan’ sesetengah manusia bergelar tidak akan boleh meruntuhkan binaan disiplin dan epistemologinya yang kukuh terletak, di samping pendukung-pendukung manhaj ilmiah yang akan terus bangkit membanteras kecurangan terhadap ilmu dan agama atas ‘kegedikan’ sentimen bangsa dan nenek moyang.

Terima kasih kepada pihak Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia yang memperkenalkan kursus Falsafah dan Isu Semasa (FIS) bagi menggantikan kursus Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS), ini kerana antara topik dalam kursus tersebut ialah perbahasan tentang epistemologi, metafizik dan logik. Semoga ia melahirkan rakyat Malaysia pelbagai bangsa khususnya umat Islam yang lebih berakal berbanding terpaling beremosi.


AHMAD ZAHIRUDDIN MOHD ZABIDI ialah pensyarah kanan di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan pernah mengikuti pengajian diploma usuluddin. Dia telah menulis lebih 30 judul buku pelbagai genre. Antara karya utamanya berjudul Isra’iliyyat, Hadith Mawdu’ & Fitnah Sirah di Alam Melayu (2019) dan Khurafat, Tahyul & Mistik di Alam Melayu (2020). Dia boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS