Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir memperuntukkan RM2 juta untuk menangani masalah air yang berpanjangan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ini berlaku selepas menteri itu disambut pelajar universiti itu dengan lagu dengan lirik antara lain berbunyi "kami belum mandi"
Mereka juga memegang pelbagai plakad, termasuk yang bertulis "Air Ma(na)dani?".
RM2 juta yang diperuntukkan Zambry hari ini, adalah tambahan kepada RM3 juta yang telah diperuntukkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu untuk menyelesaikan masalah air di UMS.
Bernama melaporkan peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk memasang pam air dan melibatkan pakar mencari sumber air alternatif bagi penyelesaian jangka panjang.
“Masalah air ini perlu dipandang serius...Kita tidak mahu pelajar terbeban dengan masalah ini terlalu lama,” kata Zambry seperti dilapor.
Pada masa ini, lori tangki air dari jabatan air negeri dihantar ke kampus secara berkala, tetapi bekalan itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan penghuninya.