Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) kini tertumpu kepada bagaimana wang-wang diterima badan itu dibelanjakan, serta pelaburan emas yang dibuat oleh organisasi tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya perlu mendapatkan pengesahan beberapa perkara berhubung siasatan tersebut.
"SPRM masih menyiasat isu wang-wang yang telah dibelanjakan.
"Siasatan kami, betulkah wang itu telah dihantar ke pihak Palestin dan bagaimana ia dihantar. Ini menjadi satu persoalan kepada pegawai-pegawai penyiasat," katanya.
Menurut Azam, Aman Palestin mendakwa dana berkenaan hantar ke negara terbabit dan SPRM menjalankan siasatan untuk mengenal pasti siapa pihak yang menerima.
Aspek pengesahan tersebut, katanya, memerlukan siasatan yang terperinci, justeru SPRM memerlukan lebih masa bagi melengkapkannya.
"Maka, jika ada isu yang tidak betul, SPRM akan cadangkan pertuduhan kepada pihak pendakwa raya," katanya.
Azam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Simposium Tata Kelola Baik Nasional 2024, di Sepang, hari ini.
Terdahulu dia ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan SPRM terhadap Aman Palestin selepas ia dimulakan pada Nov tahun lepas.
SPRM sebelum ini membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan entiti syarikat lain membabitkan wang bernilai lebih RM15 juta.
Pembekuan akaun itu terkait siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Siasatan berkenaan dibuat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).
Aman Palestin ditubuhkan pada 2004 untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan mengumpulkan dana untuk rakyat Palestin yang terjejas akibat pendudukan Israel.
Ia diasaskan oleh bekas presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman. Abdullah Zaik menjadi presiden Aman Palestin sehingga 2018.