Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan kaji perluas skop perlidungan akta kesalahan seksual kanak-kanak

Kerajaan sedang menjalankan kajian sewajarnya bagi memperluas skop perlindungan Seksyen 3 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) untuk menangani isu berkaitan eksploitasi seksual dalam talian terhadap golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata ia bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada mangsa tanpa mengira lokasi geografi pelaku.

"Jenayah eksploitasi seksual dalam talian terhadap kanak-kanak merupakan satu isu yang merentasi sempadan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata seksyen itu memperuntuk mana-mana warganegara yang melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak di luar negara boleh dianggap sebagai melakukan perbuatan tersebut di Malaysia, dan tindakan boleh diambil terhadap individu terbabit.

Mengikut Akta 792, katanya, kesalahan berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam talian melibatkan enam kategori dan hukuman dengan tempoh pemenjaraaan lima hingga 30 tahun serta sebatan.

Dia berkata akta itu turut memperuntukkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian yang lain termasuk pengantunan kanak-kanak, berkomunikasi secara seksual dengan golongan tersebut dan menyebabkan mereka memerhati atau mendengar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Azalina juga berkata pada 2023, dua pindaan baru diluluskan untuk memerangi jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian iaitu Seksyen 15A yang memperuntuk kesalahan berkaitan persembahan seksual oleh kanak-kanak manakala Seksyen 15B adalah berkaitan pemerasan seksual kanak-kanak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS