Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hampir 800,000 telah berdaftar dengan Padu setakat semalam

Pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) terus mendapat sambutan yang baik apabila seramai 798,528 individu telah berjaya mendaftar dengan sistem berkenaan setakat semalam.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi hantaran di X hari ini menyatakan Selangor, Johor dan Sarawak menjadi negeri paling ramai setakat ini yang mendaftar dengan PADU.

Menurut statistik dikongsikan dalam infografik DOSM, seramai 182,943 individu telah mendaftar dengan PADU di Selangor, diikuti Johor (85,975) dan Sarawak (72,775).

Pendaftaran PADU dibuka kepada orang ramai bermula 2 Jan lepas hingga 31 Mac ini dengan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

Ia bertujuan meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber, terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan yang lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS