Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Rosdy nafi MP BN diarah berkumpul di Cameron Highlands

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan dibuat penulis blog Raja Petra yang mengatakan semua ahli parlimen BN diarahkan berkumpul di Cameron Highlands, di Pahang semalam.

Dia menyifatkan “fitnah” itu hanya untuk menambahkan lagi sensasi berkaitan 'Langkah Dubai'.

Menteri besar Pahang itu juga berkata bahawa dakwaan itu dibuat oleh seorang penulis blog yang mengabdikan diri di luar negara kerana takut diambil tindakan atas fitnah yang dibuat hampir setiap hari.

"Maka saya menasihatkan rakyat Malaysia tidak percaya dengan fitnah murahan seperti ini.

"Umno akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah yang menggunakan wewenang baginda mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ini ditubuhkan.

"Fokus dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada negara dan rakyat, bukan bermain politik murahan yang merugikan," katanya melalui kenyataan media di Kuantan, Pahang, hari ini.


Laporan berkaitan: Percanggahan dakwaan 120 SD


Semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Wan Rosdy berada di Cameron Highlands bagi melakukan lawatan pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, dekat Cameron Highlands, susulan kejadian tanah runtuh pada Okt tahun lalu.

Ia kemudiannya disusuli program Jelajah Akar Umbi Presiden Umno bersama Umno Bahagian Cameron Highlands.

Program itu dihadiri pimpinan Umno di peringkat bahagian dan negeri.

Raja Petra melalui video dimuat naik di blog kendaliannya semalam mendakwa 30 ahli parlimen BN “dititahkan” ke Cameron Highlands bagi mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid.

Dia juga mendakwa akaun bersumpah (SD) oleh 120 ahli parlimen sudah dihantar kepada Sultan Abdullah pada Isnin lalu.

Namun, dakwaan Raja Petra itu disanggah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Adam semalam.

Lokman juga berkata Raja Petra sendiri membuat dakwaan bercanggah berkenaan perkara itu.

"Pada 5 Januari lalu, Raja Petra sendiri membongkarkan calon perdana menteri 'Langkah Dubai' adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

"Keesokannya, (Raja Petra) pula membongkarkan langkah ini memiliki tiga calon lain iaitu bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

"Raja Petra sendiri menipu Raja Petra," kata Lokman yang juga pengarah komunikasi Umno.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditemui media di Kuala Nerang, Kedah, hari ini dilaporkan berkata, PN sudah mempunyai jumlah SD mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS