Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kilang proses ubat batuk tiruan diserbu
Diterbitkan:  Jan 6, 2024 8:14 AM
Dikemaskini: 12:14 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kilang memproses ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan, dan menahan seorang wanita berusia 38 tahun yang disyaki bertanggungjawab mengendalikan premis berkenaan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam berkata dalam serbuan bersepadu itu, sejumlah 10,000 botol ubat batuk yang siap dibungkus dan 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun dirampas.

Turut dirampas ialah kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk tujuan memproses ubat berkenaan.

“Semua bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan disita bagi tujuan siasatan.

"NIlai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM236,516,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya malam tadi.

Azman berkata operasi pada 15 Dis lalu itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Ia dibuat susulan aduan yang diterima serta risikan awal oleh KKM selama tiga bulan sebelum itu.

Azman berkata dua bangunan industri atau kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan ubat batuk tiruan turut disita dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2.6 juta.

“Susulan serbuan itu, sebanyak 56 akaun turut dibekukan melibatkan sembilan entiti dengan empat daripadanya merupakan akaun syarikat, manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta," katanya.

Azman berkata syarikat terbabit akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram, manakala wanita itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

KKM juga, katanya, akan menjalankan siasatan lanjut mengikut Akta Racun 1952 [Akta 366] yang mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS