Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiong nafi makan babi, minum arak di pejabat
Diterbitkan:  Jan 5, 2024 10:38 PM
Dikemaskini: 2:38 PM

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing menafikan dakwaan dia meminum alkohol dan makan daging babi di pejabat.

Tiong dalam satu kenyataan memetik dakwaan yang beredar di WhatsApp, dikatakan dari seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai bekas timbalan ketua pengarah kementerian kesihatan yang berkhidmat di bawah beberapa menteri bukan Islam.

Tiong berkata walaupun dia lazimnya tidak mengendahkan khabar angin sebegitu, kali ini, mesej itu bukan sahaja secara terang-terangan palsu tetapi juga bertujuan untuk mencetuskan kebencian kaum.

"Dakwaan itu tular terlalu meluas untuk tidak ditangani dan kerana ia secara langsung mencemarkan tadbir urus negara, adalah perlu untuk menjawabnya bagi mengelakkan lebih ramai orang menganggapkan dakwaan itu benar," katanya.

Antara lain, Tiong berkata dia dituduh bukan sahaja makan daging babi dan minum arak di pejabat, tetapi juga memaksa pembersihan dibuat oleh pembersih atau kakitangan Muslim.

Dia juga berkata individu yang tidak dikenali itu mendakwa dimaklumkan mengenai dakwaan berkenaan oleh kakitangan kementerian berkenaan.

"Sememangnya saya tidak pasti siapa yang membuat khabar angin ini. Tetapi saya menggesa kakitangan MOTAC yang disebut untuk tampil memaklumkan kepada saya sekiranya pihak yang menuduh telah menyalahgunakan komen mana-mana penjawat awam.

"Saya tidak takut untuk diejek kerana mengatakan ini, tetapi hakikatnya pejabat saya tidak dapat mengupah mana-mana tukang cuci setakat ini," kata Tiong.

Bertentangan dengan dakwaan bahawa dia makan daging babi di pejabat, Tiong berkata dia dikenali kerana membuat pesanan hampir sama sepanjang masa, termasuk ketika melayan tetamu tempatan.

“Sama ada makan sendiri atau melayan tetamu, sama ada nasi lemak, briyani, atau KFC sahaja. Hanya apabila kami menerima tetamu asing seperti dari China, kami akan memesan makanan dari restoran Cina di hotel sekitar Putrajaya.

“Makanan restoran Cina hotel mana yang menyajikan hidangan daging babi? Jika penuduh tahu yang mana satu yang ada, kami dengan senang hati ingin mereka mengesyorkan kepada kami,” katanya.

“Bagi penyimpanan arak di pejabat, ia hanya berdasarkan hadiah yang kami terima daripada tetamu luar negara yang pelbagai latar belakang dan budaya.

“Atas rasa hormat, saya menerimanya tetapi hadiah ini bukan menjadi barang peribadi saya sendiri,” katanya.

Tiong menjelaskan, walaupun dia sering tidak boleh menolak pemberian itu, adalah tidak wajar baginya untuk membawanya pulang kerana ia diberikan dalam acara atau kapasiti rasmi.

“Seboleh-bolehnya, kami cuba sedaya upaya untuk memindahkan hadiah tersebut kepada penerima lain seperti pegawai atau tetamu asing semasa makan malam atau acara santai. Apa yang salah dengan semua ini?” soalnya.

Dakwaan tular itu itu juga merujuk kepada kritikan Tiong terhadap larangan penjualan arak di Kedah, menggesa ahli parlimen Bintulu itu membetulkan keadaan yang didakwa dalam kementeriannya bagi mendapatkan penghormatan rakyat.

"Biar saya jelaskan kepada mereka yang mempunyai agenda tersembunyi kerana saya telah menunjukkan semua mesej tidak berasas ini kepada setiausaha agung parti saya, timbalan menteri, dan mendedahkan isu yang tidak masuk akal ini kepada MOTAC dalam mesyuarat dalaman: Saya tidak akan berkompromi dalam melakukan perkara yang betul," tegasnya.

Dia juga mencabar pengkritiknya untuk mendedahkan diri mereka dan bertemu dengannya di kementerian dalam tempoh dua minggu untuk menyelesaikan perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS