Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Madpet ulang gesaan polis guna kamera badan
Diterbitkan:  Jan 5, 2024 9:44 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Kumpulan hak asasi Warga Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) menggesa semua anggota polis dilengkapi kamera badan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Jurucakap Madpet Charles Hector berkata sudah lebih setahun sejak belanjawan diluluskan yang menetapkan peruntukan untuk polis memperoleh kamera badan, namun masih terdapat pembunuhan di luar undang-undang oleh polis.

“Madpet menyeru agar semua anggota polis memakai kamera badan dalam tempoh tiga bulan, dan kamera litar tertutup (CCTV) dengan kapasiti rakaman diletakkan di semua kawasan balai polis.

“Ini bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap suspek yang ditahan, supaya polis tidak melanggar undang-undang, dan hak suspek dilindungi,” katanya.

Hector memetik kes terbaru pada malam tahun baru melibatkan seorang lelaki berusia 44 tahun ditembak mati di Pulau Pinang.

Ketua polis negeri Khaw Kok Chin dilaporkan berkata siasatan lanjut mendedahkan suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau melibatkan rompakan, dadah, termasuk kes yang disiasat di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya.

"Adakah ini benar-benar penemuan kebetulan dengan pasukan dari Bahagian Jenayah Berat (unit D9)?

“Adakah polis datang dengan niat untuk membunuh? Jika tidak, mengapa polis cuba memberitahu kita sekarang bahawa yang terbunuh adalah orang jahat?” kata Hector.

“Mengetengahkan dakwaan bahawa si mati kini terlibat dalam jenayah itu dan jenayah ini sama sekali tidak relevan, kerana polis dalam undang-undang hanya mempunyai tugas dan kuasa untuk menangkap sahaja, bukan membunuh.

"Mereka bukan hakim atau algojo," katanya.

Hector berkata penggunaan kamera badan dan CCTV akan membantu memastikan polis mematuhi undang-undang dan mendedahkan bukti mengenai sebarang dakwaan salah laku, termasuk pembunuhan di luar undang-undang.

Dia berkata pihak berkuasa lain termasuk dari SPRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak tahun lepas telah dilengkapi dengan kamera badan, dan oleh itu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail harus menjelaskan kelewatan bagi polis mengambil langkah sama.

"Menteri mesti menjelaskan, dan jika tidak, maka perdana menteri mesti mencari menteri yang lebih cekap kerana isu kamera badan dan CCTV untuk polis dan penguatkuasaan undang-undang telah lama menjadi keutamaan," katanya.

Pada 2021, perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pegawai penguat kuasa akan dilengkapi dengan kamera badan, antara lain bagi melindungi polis daripada fitnah oleh penjenayah atau orang yang tidak bertanggungjawab.

Kerajaan pada masa itu telah meluluskan peruntukan RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk tujuan ini.

Pada Februari tahun lepas, Saifuddin berkata penggunaan kamera badan perlu dilakukan "secepat mungkin" tanpa sebarang kompromi terhadap kualitinya.

Oktober lalu, Saifuddin bagaimanapun berkata pasukan polis dijangka menggunakan sepenuhnya kamera badan bermula 2025, selepas melalui keseluruhan proses perolehan termasuk ujian, lawatan turun padang, latihan dan pensijilan tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS