Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tebuk atap: Kaedah SD tak terpakai lagi, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi berkata dia yakin kaedah menumbangkan kerajaan untuk diganti dengan yang baru kini tidak lagi dapat dibuat melalui kaedah akuan bersumpah (SD).

Bercakap kepada media di Putrajaya hari ini timbalan perdana menteri itu berkata keadaan sudah berubah dengan adanya akta baru yang mengekang tindakan ahli parlimen 'melompat'.

"Soal tebuk atap ni, saya fikir akuan bersumpah tak lagi boleh digunakan sebagai platform utama seperti sebelum wujudnya akta antilompat parti.

"(Dalam keadaan sekarang), sebarang keputusan besar dibuat oleh parti. Kalau mahu tukar (kerajaan) kena secara en bloc," katanya.

Dia juga menambah usaha menjatuhkan kerajaan ketika ini tidak akan berjaya khususnya berdasarkan kepada keadaan semasa politik.

Katanya Premier Sarawak Abang Johari Openg sendiri sudah memberi jaminan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuainya tidak terbabit.

Di Sabah pula, kata Ahmad Zahid, kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah pula sedang sibuk membuat persiapan untuk mengadakan pilihan raya negeri.

Pada masa sama presiden Umno itu juga mengingatkan pembangkang agar tidak lagi sibuk mahu menjatuhkan kerajaan di luar pilihan raya sebaliknya menumpukan masa membangunkan negara.

"Pihak pembangkang cukup-cukuplah lakukan apa langkah-langkah yang apa nama sekalipun.

"Jangan buang masa rakyat, jangan buang masa untuk alih perhatian rakyat," katanya.

Usaha terbaru menukar kerajaan melalui peralihan sokongan ahli parlimen mula menjadi perhatian ramai selepas Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) membuat dakwaan mengenainya baru-baru ini.

Kongres bumiputera tiga hari

Ia didakwa didalangi pemimpin PN dengan kerjasama ahli parlimen tertentu dari dalam blok kerajaan sendiri.

Gerakan itu - digelar sebagai Langkah Dubai sempena lokasi pertemuan yang didakwa berlaku - disahkan oleh Ahmad Zahid beberapa hari kemudian.

Pihak PN pula mendakwa langkah menjatuhkan kerajaan bukanlah dibuat di Dubai bahkan di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid berkata dia bukan menghalang kegiatan berpolitik diamalkan di negara ini sebaliknya menyarankan waktu yang ada sekarang digunakan untuk membangunkan negara.

Apabila tiba masa untuk pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil, katanya, kegiatan itu boleh disambung semula.

"Kita ada tempoh empat tahun mulai tahun ini untuk mengadakan hadapi PRU.

"Dalam empat tahun ini sama-sama kita bina semula negara ini," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera selama tiga hari mulai 29 Feb tahun ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga dijadual menerima resolusi daripada kongres berkenaan pada hari ia berlangsung.

“Perdana menteri juga akan mengumumkan tindakan pelaksanaan ke atas resolusi yang dicadangkan.

“Kongres itu akan merangkumi 10 kluster yang menyaksikan penglibatan bumiputera dalam sektor ekonomi dan bukan ekonomi.

"Ini termasuk perdagangan dan perniagaan Dayak serta Kadazandusun,” katanya.

Dia juga mengesahkan beberapa anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ditutup kerana didapati berprestasi rendah serta tidak menguntungkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS