Paling Popular
Terkini

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) tampil menjelaskan poster promosinya mengenai pertandingan kaligrafi Cina yang didakwa sesetengah pengguna maya sebagai memperkecilkan bahasa kebangsaan.

Ketua Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan MPT Muhamad Hafizzuddin Azhar berkata program yang memaparkan gambar Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming itu bukan dianjurkan pihaknya.

“Program ini adalah program anjuran pusat khidmat Ahli Parlimen (Taiping Wong Kah Woh) dan dia buat program pun kaligrafi Cina.

"Kalau kaligrafi, khalayak sasarannya adalah orang Cina,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh.

Semakan Malaysiakini malam tadi mendapati poster berkenaan di Facebook MPT telah dikemas kini dengan tulisan bahasa Melayu diletakkan di atas bahasa Mandarin, berbeza daripada versi asal yang mencetuskan pertikaian itu.

Katanya lagi, pertandingan kaligrafi Piala Nga Kor Ming ini merupakan salah satu acara sempena sambutan 150 tahun bandar Taiping.

“Acaranya ni termasuklah senarai acara 150 tahun bandar Taiping,” jelasnya.

Menurut Hafizzuddin, MPT hanya bertindak untuk menghebah dan mempromosikan program tersebut.

“Kerjasama dengan ahli parlimen, sebab dia adalah salah satu acara. Kita bagi dari segi promosi dan hebahan," katanya.

Hafizzuddin berkata hebahan poster tersebut perlu ditulis dalam bahasa Melayu dan Mandarin kerana ia pertandingan kaligrafi Cina yang menyasarkan penyertaan komuniti tersebut.

Program sambutan 150 tahun bandar Taiping anjuran MPT itu bersempena dengan tahun melawat Perak 2024.

Pelbagai acara dan aktiviti dirancang bermula dari bulan Januari hingga Disember 2024.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS